Jumlah kematian kembali meningkat

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan jumlah kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 107 kes, berbanding 73 kes yang dilaporkan dalam tempoh sama semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes kematian itu membabitkan 98 warganegara dan 9 bukan warganegara, dan ini menjadikan kumulatif kematian kepada 5,434 kes.

Beliau berkata pada masa sama 5,677 atau 90.6 daripada individu yang dijangkiti Covid-19 telah sembuh menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 700,215 kes.

“Terdapat 66,958 kes masih aktif. Seramapi 892 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 443 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau melaporkan jumlah kes baharu Covid-19 di Selangor dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat kepada 3,047 kes. Semalam negeri itu mencatatkan 2,907 kes baharu.

Beliau berkata dalam tempoh itu 6,658 kes jangkitan baharu direkodkan di seluruh negara menjadikan kumulatif sebanyak 772,607 kes sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

Berdasarkan data dikeluarkan KKM, 10 negeri dan wilayah merekodkan penurunan kes baharu hari ini, sementara kes di Negeri Sembilan semakin meningkat dari sehari ke sehari.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata, dalam tempoh 24 jam, 19 kluster baharu dikesan di seluruh negara dengan 16 daripadanya adalah jangkitan di tempat kerja.

Jumlah jangkitan kluster tempat kerja paling tinggi dikesan di industri Seri Kembangan, Selangor membabitkan 144 jangkitan, diikuti 121 kes di Kuching, Asajaya, Bau, Samarahan, dan Serian di Sarawak.

Lima kluster tempat kerja dikesan di Johor; Selangor (empat); Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu di Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, dan Pahang. Sarawak juga melaporkan satu kluster pusat tahanan.

Sementara itu, Kedah dan Kelantan masing-masing merekodkan satu kluster baharu komoniti.

BERITA BERKAIT
POPULAR