Jumlah kematian hampiri 6,000 kes

Kes kematian akibat jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun hampir separuh daripada semalam apabila mencatatkan 77 kes hari ini berbanding 135 pada Khamis.

Angka terbaharu itu menjadikan jumlah kematian kepada 5,980 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 5,713 pesakit telah sembuh menjadikan kumulatif 731,193 kes, manakala 80,665 kes masih aktif daripada 817,838 jangkitan yang dikesan sejak awal pandemik.

“Sebanyak 959 pesakit kini dirawat di unit rawatan rapi dengan 465 memerlukan bantuan alat pernafasan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama beliau berkata 30 kluster baharu dikesan dengan kluster tempat kerja merekodkan jumlah terbanyak iaitu 21 kes diikuti empat kluster komuniti, pusat tahanan (tiga) dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan lain.

“Sebanyak 2,164kluster telah ditamatkan, manakala jumlah kluster aktif adalah 865,” katanya.

Daripada jumlah itu, Dr Noor Hisham berkata, Johor dan Selangor masing-masing mencatatkan enam kluster baharu tempat kerja, diikuti Kuala Lumpur (tiga), masing-masing dua di Perak dan Melaka, manakala Negeri Sembilan dan Sarawak merekodkan satu kluster tempat kerja.

Sementarab itu, tiga kluster komuniti dikesan di Kelantan dan satu kluster di Sabah.

Dalam tempoh itu juga dua kluster pusat tahanan dilaporkan di Sarawak dan satu di Selangor.

Selangor turut merekodkan jangkitan menerusi kluster pendidikan, manakala Pahang mencatatkan satu kluster kumpulan berisiko tinggi.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham sekali lagi memaklumkan peningkatan kes baharu, terutama di Selangor dan Kuala Lumpur disebabkan saringan bertumpu yang giat dijalankan setelah kedua-dua negeri dan lokaliti itu diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“Didapati terdapat ramai juga individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian Covid-19. Mereka adalah di kalangan yang berisiko tinggi misalnya yang bergejala atau kontak rapat.

“KKM akan terus menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat dan tindakan pengasingan kes positif Covid-19 bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR