Jumlah daftar suntikan vaksin Covid-19 masih rendah

Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima suntikan vaksin Covid-19, menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 24 Februari lalu.

Hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta penduduk Malaysia mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu jauh lebih rendah berbanding keseluruhan penduduk dan rakyat asing yang layak menerima suntikan berkenaan.

“Saya kira angka itu masih kecil. Pastinya ini penting untuk menentukan supaya tahap pencapaian kita untuk mengawal wabak COVID-19 dengan lebih berjaya dan dalam keadaan yang sama dapat kita revitalise ataupun memulihkan ekonomi negara kita dengan lebih pesat lagi.

“Ada hubung kait di antara pelaksanaan pelan vaksinasi dengan pemulihan ekonomi negara kita,” katanya di ibu negara, hari ini.

Katanya, walaupun ektor ekonomi sudah dibuka dan semakin bertambah baik, situasi Covid-19 yang sedang melanda negara dan dunia masih belum dapat diatasi sepenuhnya, malah wujud pula varian baharu virus itu.

“… kita lihat sekarang ini hampir semua sektor ekonomi sudah dibuka untuk memulakan operasi dan perniagaan. Saya rasa keadaan bertambah baik sekarang dan akan terus bertambah baik.

“Ini yang kita harap dapat lihat dalam tempoh beberapa bulan akan datang, dan perkembangan ekonomi dijangka dapat dilihat dalam separuh kedua atau suku ketiga dengan Keluaran Dalam Negara Kasar diunjur bertumbuh antara enam dan 7.5 peratus,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru pihak berkaitan supaya membantu mereka yang masih belum mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin dengan memberi penerangan dan seterusnya membantu mereka mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera.