Julai depan pembentangan RUU Anti Lompat Parti: Ismail Sabri

Kerajaan menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sesi Parlimen Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata kerajaan tidak ada niat untuk melewat-lewatkan atau tidak membentangkan Akta Anti Lompat Parti, namun ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu termasuk pindaan RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 yang akan dibentangkan esok, lapor Bernama.

“Ada pihak yang terkeliru cuba memainkan isu seolah-olah kerajaan tidak ikhlas dalam soal membentang Akta Anti Lompat Parti,” katanya kepada media selepas menghadiri taklimat khas mengenai RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022, di sini hari ini.

Turut hadir dalam taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Ismail Sabri berkata sebaik sahaja RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 diluluskan dengan majoriti dua pertiga atau lebih 148 undi, kerajaan akan membentuk satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada wakil kerajaan, pembangkang dan ahli akademik untuk meneliti dan mengubal RUU Akta Anti Lompat Parti.

“Saya harap perkara ini dapat dipercepatkan kerana sasaran kerajaan adalah untuk membentangkan Akta Anti Lompat Parti ini pada sesi Parlimen Julai.

“Bagaimanapun ia tergantung kepada jawatankuasa khas nanti, secepat mana mereka boleh mencadangkan untuk dibentangkan ke dalam Kabinet untuk persetujuan. Selepas Kabinet bersetuju maka kita boleh bentangkan segera di Parlimen,” katanya.

Ismail Sabri berkata beliau yakin RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 akan diluluskan.

“Setakat hari ini daripada kenyataan media kita baca, dari parti-parti kerajaan semuanya menyokong. Pembangkang, Pakatan Harapan pun dah buat kenyataan, berjanji sewaktu berjumpa dengan saya, mereka juga akan menyokong.

“Jadi saya rasa tidak timbul isu tentang pindaan ini tidak diluluskan. Saya harap apa yang dijanjikan akan ditepati esok,” katanya.

Ismail Sabri berkata tujuan kerajaan membentangkan pindaan perlembagaan Artikel 10 adalah untuk membolehkan Akta Anti Lompat Parti dibentangkan di Parlimen, kerana tanpa pindaan kepada Artikel 10 mana-mana undang-undang yang dibentangkan atau diluluskan tidak boleh terpakai kerana akan bertentangan dengan Artikel berkenaan.

“Seperti kita tahu Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan telah membuat pindaan kepada Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan untuk tidak membenarkan lompat parti, tetapi kerana Artikel 10 tidak dipinda, jadi pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan tidak boleh terpakai kerana bertentangan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sebab tu kita kena pinda Artikel 10 dan inilah yang akan dilakukan esok,” katanya.

Sementara itu ditanya adakah wakil pembangkang turut hadir dalam taklimat hari ini, Ismail Sabri berkata terdapat empat wakil pembangkang yang hadir.

Mereka terdiri daripada Ahli Parlimen Ipoh Timur Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Kuching Dr Kelvin Yii, Ahli Parlimen Kalabakan Ma’mun Sulaiman dan Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli.

“Ada ahli pembangkang yang hadir tapi saya difahamkan mereka (ahli pembangkang yang lain) mempunyai pre-council (di tempat lain).

“Hari ini seolah-olah hari biasa kita ada pre-council sehari sebelum sidang (Parlimen). Hari ini fokusnya walaupun satu saja, tapi dia macam pre-council juga,” katanya.

Beberapa ahli Parlimen, menteri Kabinet dan ahli Dewan Negara hadir di Dewan Sri Endon, Puspanitapuri di sini hari ini bagi mengikuti taklimat khas RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022.

Antaranya Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Turut serta ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Adham Baba, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad dan Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

BERITA BERKAIT
POPULAR