
Jabatan Pengangkutan Jalan Pulau Pinang menyita 47 kenderaan yang dipandu rakyat asing tanpa memiliki dokumen yang lengkap semalam, 26 Julai 2022. - Gambar JPJ
Sebanyak 47 kenderaan dipandu warga asing tanpa dokumen lengkap telah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam tempoh dua jam operasi di sekitar Seberang Jaya semalam (26 Julai).
Penguatkuasaan yang dijalankan di bawah Ops Ops Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) menyaksikan sejumlah 44 motosikal, dua kereta persendirian dan sebuah lori dirampas berhampiran Seberang Jaya antara jam 7 pagi hingga 9 pagi.
“Penguatkuasaan bertujuan memastikan pekerja asing memiliki lesen memandu, pengenalan diri dan dokumen yang sah ketika memandu di negara ini.
“Tindakan tegas telah diambil terhadap mereka kerana melanggar undang-undang.
“Mereka yang ditahan ialah 20 warga Rohingya yang merupakan pemegang kad UNHCR, sembilan warga Bangladesh, tujuh warga Indonesia, empat Vietnam, tiga India, dua Myanmar, Nepal dan Kemboja.
“Pelanggaran undang-undang memandu tanpa lesen paling banyak dikesan selain cukai jalan tamat tempoh, tiada insurans dan kesalahan teknikal.
“Pemeriksaan kenderaan juga mendapati ada warga tempatan yang menyewa kenderaan persendirian mereka untuk digunakan warga asing pada setiap bulan,” kata JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan.
JPJ berkata tindakan segelintir penduduk tempatan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan saman kerana membenarkan pemandu warga asing memandu tanpa lesen memandu atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tidak dilindungi insurans.
“Kesemua kenderaan tersebut disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
JPJ akan terus melakukan pemeriksaan secara berterusan dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu warga asing dan pemilik kenderaan tanpa kompromi dan yang engkar peraturan serta undang-undang ditetapkan semasa memandu,” kata JPJ.