Johor rekod 33 kematian akibat Covid-19 semalam

Johor mencatat jumlah kematian tertinggi akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, apabila seramai 33 pesakit meninggal dunia, termasuk 15 kes kematian di luar hospital atau ‘brought in death’ (BID).

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman sesawangnya COVIDNOW yang dikemas kini malam tadi, keseluruhan jumlah kematian di negeri itu sejak awal tahun lalu sehingga semalam meningkat kepada 3,518 kes.

Johor juga merupakan antara empat negeri tertinggi dengan kes aktif iaitu sebanyak 11,575 kes, selain jumlah kes positif kini mencecah 209,318 dan 194,765 daripadanya telah sembuh.

Semalam sahaja seramai 88 pesakit Covid-19 meninggal dunia di seluruh negara, termasuk 26 daripadanya melibatkan kes ‘brought in death’ (BID), lapor KKM,

Jumlah kematian terbaharu itu menjadikan keseluruhan sejak Covid-19 melanda negara awal tahun lalu meningkat kepada 27,858 kes, termasuk 5,635 melibatkan BID.

Semalam, Sarawak merekodkan 14 kes kematian diikuti Sabah (12 kes); Pulau Pinang (lapan); masing-masing empat di Negeri Sembilan dan Perak; Melaka (tiga); masing-masing dua di Kedah, Perlis, Selangor dan Terengganu; dan masing-masing satu di Pahang dan Kuala Lumpur.

Pecahan kes baharu Covid-19 mengikut negeri pada 16 Oktober 2021.

Sementara itu, Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya kembali menjadi penyumbang kepada peningkatan jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara semalam.

Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, sebanyak 7,509 kes baharu direkodkan dengan Selangor mencatat peningkatan kes daripada 1,163 pada Jumaat, kepada 1,744 kes semalam. Kuala Lumpur pula merekodkan 259 kes berbanding 265 (Jumaat), dan Putrajaya 37 kes semalam (39 kes Jumaat).

Dua lagi negeri merekodkan peningkatan jangkitan semalam, membabitkan Sarawak yang mencatat 1,055 kes berbanding 1,009 kes pada Jumaat, dan Negeri Sembilan (236 kes semalam, 199 Jumaat).

Tiga belas negeri lain mencatat penurunan dengan terendah dilaporkan di Labuan sebanyak dua kes.

Sementara itu, jumlah kes aktif Covid-19 di seluruh negara sehingga semalam juga turun kepada 95,159 kes berbanding 97,505 kes yang dilaporkan pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 73,271 masih dikenakan kuarantin di rumah, 14,401 ditempatkan di PKRC, dan 6,793 dirawat di hospital seluruh negara.

Seramai 694 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi, termasuk 344 pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR