
Johor mendapat tambahan dua juta dos vaksin Covid-19.
Kerajaan bersetuju menambah dua juta dos lagi vaksin Covid-19 kepada Johor untuk diagihkan di seluruh negeri itu menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sepanjang bulan ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata penambahan itu meliputi semua jenis vaksin yang telah mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.
“Vaksin ini akan diagihkan ke seluruh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdapat di Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata sehingga kini sejumlah 1,362,398 individu telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Johor, manakala 540,895 lagi penerima melengkapkan dos kedua masing-masing.
Katanya secara keseluruhan sebanyak 50.2 peratus daripada populasi dewasa di negeri itu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
“Dengan dua juta dos vaksin yang diagihkan kepada Johor pada Ogos ini ia akan membantu mempercepatkan lagi sasaran untuk mencapai imuniti kelompok di negeri itu,” katanya.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekecewaan atas kadar vaksinasi di negeri itu yang masih rendah.
Baginda bertitah statistik laman web Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) sehingga 2 Ogos menunjukkan hanya 31.3 peratus atau 1,184,151 individu di Johor telah menerima vaksin dos pertama.
Baginda amat mengharapkan imuniti kelompok dapat dicapai secepat mungkin di negeri Johor dan di seluruh negara supaya kesannya kepada kehidupan seharian semua lapisan rakyat dapat pulih.