
Mantan Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad.
Jika berani, DAP digesa meminta kerajaan nyah rahsia mesyuarat Kabinet sebelum ini semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerintah 22 bulan.
Cabaran supaya nyah rahsia mesyuarat Kabinet itu dibuat selepas pendedahan Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan DAP pernah meminta kes kalimah Allah membabitkan Jill Ireland diselesaikan di luar mahkamah semasa beliau menjadi Menteri Dalam Negeri.
Pembantu dan juga bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Kelapan, Datuk Dr Marzuki Mohamad berkata tiada keperluan melayan cabaran DAP supaya mendedahkan nama menteri yang mendesak supaya kes kalimah Allah diselesaikan di luar mahkamah.
“Lim Guan Eng tak payah cabar Tan Sri Muhyiddin supaya dedahkan siapa menteri DAP yang minta kes kalimah Allah diselesaikan di luar mahkamah. Tak payah Tan Sri Muhyiddin dedah. Saya pun boleh sebut siapa menteri tu.
“Tapi perangai DAP sekarang ni dah jadi macam perangai Lee Kuan Yew dulu. Kita sebut saja nama, disamannya kita.
“Jadi daripada kita buang masa, buang duit kena saman, saya cadang beginilah senang. Kerajaan declassify (nyah rahsia) saja minit mesyuarat kabinet yang bincang isu kalimah Allah masa zaman PH dulu. Declassify semua, jangan sekerat-sekerat. Jadi kita tahulah menteri mana cakap apa. Tak payah nak dakwa dakwi lagi,” katanya dalam satu kenyataan Facebook.
Menurut Marzuki lagi, kabinet semasa PH memerintah juga ada menubuhkan satu jawatankuasa untuk membincangkan berhubung isu kalimah Allah dan jika berani, DAP boleh meminta kerajaan untuk nyah rahsia perbincangannya.
“Kabinet zaman PH dulu pernah bentuk satu Jawatankuasa Khas Menteri untuk bincang selesai kes ini di luar mahkamah. Dedahkan apa butir perbincangannya.
“DAP pun memang perjuangkan prinsip Competence, Accountability, Transparency (CAT) kan? So, ini kira transparency lah. Berani ke Guan Eng?” soalnya lagi.
Terdahulu, Muhyiddin mendedahkan DAP mendakwa permintaan untuk menyelesaikan isu kalimah Allah di luar mahkamah berlaku sewaktu berada dalam kerajaan PH pada 2020.
“Ketika saya menjadi Menteri Dalam Negeri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), ada menteri daripada DAP yang meminta supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan kes Jill Ireland di luar mahkamah.
“Saya tidak bersetuju dengan permintaan ini kerana apa yang dimaksudkan dengan penyelesaian di luar mahkamah itu ialah KDN menarik balik perintah rampasan cakera padat risalah agama Kristian yang mengandungi kalimah Allah,” tulisnya.
Isnin lalu, kerajaan campuran PH-UMNO menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi, yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.
Keputusan itu menerima pelbagai bantahan pelbagai pihak yang menggesa kerajaan mempertimbangkan semula tindakan itu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membuat rayuan juga selaras dengan titah yang dizahirkan pada masa itu oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.