Jika banjir berlaku dua kali, BWI pun dibayar dua kali, kata PM

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) akan ditutup esok sebaliknya berkata ia akan diteruskan setiap kali rakyat ditimpa bencana.

Malah, beliau berkata sekiranya bencana banjir berlaku dua kali, maka beliau akan mengarahkan pembayaran BWI dibuat dua kali kepada mangsa yang terlibat.

“Permohonan BWI tidak pernah ditutup. Malah kerajaan akan bayar setiap kali mereka ditimpa bencana.

Kalau dua kali dilanda bencana, dua kalilah kerajaan akan bayar. Itu arahan saya,” katanya dalam Twitter hari ini.

Hantaran beliau sebagai menjawab ciapan Twitter Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh yang mendakwa bagaimana kerajaan mengumumkan bantuan kewangan banjir RM1,000 tanpa butiran lengkap dan secara tiba-tiba menutup permohonan esok.

Justeru, Perdana Menteri meminta Hannah untuk membuat semakan fakta terlebih dahulu agar tidak mengelirukan rakyat.

“Baik YB fact check (semak fakta) dulu, jangan terus percaya pada maklumat WhatsApp. Tindakan YB mengelirukan rakyat,” menurut Ismail Sabri.

Kerajaan sebelum ini bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat.

Inisiatif BWI itu dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah yang melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

Sementara itu, beliau mengingatkan penduduk di beberapa negeri supaya meningkatkan kewaspadaan susulan ramalan Jabatan Metereologi Malaysia bahawa luruan monsun yang akan berlaku pada 27 hingga 29 Disember ini di mana hujan berterusan dijangka berlaku di Sabah Timur dan Sarawak Barat.

“Kita masih harus berwaspada akan ketidaktentuan cuaca sepanjang bulan ini. Saya telah mengerahkan semua agensi bertanggungjawab sentiasa bersedia dan berwaspada sekiranya kita menghadapi gelombang kedua.

“Pasukan keselamatan telah diletakkan secara strategik di kawasan-kawasan berisiko tinggi. Orang ramai diminta berjaga-jaga kerana angin kencang dan laut bergelora turut diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuklah kawasan perairan Pantai Timur Semenanjung mulai 26-29 Disember 2021,” katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR