Jho Low seleweng dana 1MDB tanpa pengetahuan Najib: Peguam

Pihak pembelaan dalam perbicaraan Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini menegaskan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah menyeleweng dana milik syarikat pelaburan strategik itu melalui keuntungan daripada terbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM5 bilion, tanpa pengetahuan bekas Perdana Menteri itu.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah juga berhujah di Mahkamah Tinggi bahawa Najib tidak menerima wang yang berasal daripada bon yang dikeluarkan pada 2009 oleh pendahulu 1MDB, Terengganu Investment Authority (TIA), kerana akaun bank bekas perdana menteri di AmBank hanya dibuka pada 13 Januari 2011.

Bekas pengarah bukan eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, yang merupakan saksi pendakwaan ke-13 bersetuju dengan hujah peguam itu bahawa tiada hasil daripada bon IMTN yang diseleweng Jho Low pernah masuk ke akaun peribadi Najib, lapor Bernama.

Muhammad Shafee, sambil merujuk artikel dari blog dalam talian Malaysia Today, memberitahu mahkamah bahawa Jho Low telah menerima wang yang diselewengkan daripada terbitan bon, yang dipindahkan ke dua syarikat yang berkaitan dengannya (Jho Low), Country Group Securities PCL dan Aktis Capital Singapore Pte Ltd berjumlah RM74 juta pada 2009.

“Kedua-dua syarikat itu memperoleh keuntungan mudah apabila mereka melanggan bon 1MDB pada harga diskaun sebelum menjualnya semula pada nilai muka (atau nilai di atas kertas) pada 2009 kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan syarikat insurans, Prudential.

“Kami ingin memastikan bahawa tiada keuntungan IMTN masuk ke dalam akaun Najib. Wang dalam akaun Najib hanya kerana susunan derma Arab. Pelanggan saya mendapat tanggapan bahawa ia adalah derma daripada Kementerian Kewangan Saudi.

“Akaun Ambank Najib (yang didakwa menerima berbilion ringgit dalam dana 1MDB) dibuka pada 2011, jadi ia tidak ada kaitan dengan IMTN,” kata Muhammad Shafee.

Peguam kanan itu kemudian menyoal saksi sama ada dia biasa dengan istilah ‘bekerja dalam silo’, yang telah diulangi oleh tiga pengurusan tertinggi 1MDB apabila mereka dipanggil ke kandang saksi – bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi; Mohd Hazem Abd Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan 1MDB, Azmi Tahir.

Saksi menjawab ‘ya’.

Muhammad Shafee: Adakah ia satu amalan yang baik dalam bidang korporat?

Ismee: Tidak.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

BERITA BERKAIT
POPULAR