Jho Low masih diburu: Bukit Aman

Ahli perniagaan dalam buruan Jho Low yang dituduh terlibat dalam penyelewengan berbilion-bilion ringgit dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bersama bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, masih dicari.

Dia yang didakwa berada di belakang tabir skandal kewangan paling besar dalam sejarah dunia hingga memalukan Malaysia dipercayai bersembunyi di tiga tempat iaitu Hong Kong, Macau dan China.

Sehingga kini, Najib dan dua eksekutif bank Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng didakwa di mahkamah berhubung penyelewengan dana 1MDB.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC.

Hakim turut memerintahkan Najib dipenjara 12 tahun penjara dan denda RM210 juta (jika gagal bayar, lima tahun penjara) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Bagi tuduhan pengubahan wang haram pula, hakim memerintahkan Najib dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan.

Walaupun hukuman penjara itu berjumlah 72 tahun, namun hakim bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak. Ini bermakna Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan sebulat suarat mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, selain menolak penjelasan Najib bahawa semua tindakannya adalah demi ‘kepentingan negara’, sebaliknya

Pengerusi Panel Tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ketika membacakan hukuman berkata tindakan Najib bukan demi kepentingan negara sebaliknya hanya memalukan negara.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman penjara sementara bekas Perdana Menteri itu menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, memetik laporan BH hari ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan menjelaskan polis masih giat mengesan Jho Low untuk dibawa pulang bagi menghadapi proses perbicaraan.

Menurutnya nama Jho Low juga sudah disenarai sebagai individu dikehendaki kategori notis merah oleh Polis Antarabangsa (Interpol).

“Kita masih buru Jho Low dan siasat di negara mana ahli perniagaan itu bersembunyi. Dalam hal ini, kita mendapat kerjasama INTERPOL.

“Bagaimanapun, tiada maklumat atau perkembangan baharu berhubung kes berkenaan boleh dikongsikan setakat ini,” katanya.

Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan skandal MDB.

Sejak itu, pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa ahli perniagaan itu pulang.

BERITA BERKAIT
POPULAR