
1Malaysia Development Bhd (1MDB) dibenar memulakan prosiding penghinaan terhadap Jho Low dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng kerana tidak mematuhi perintah pembekuan aset.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan anak syarikatnya memulakan prosiding penghinaan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low, dan bapanya Tan Sri Larry Low Hock Peng kerana tidak mematuhi perintah pembekuan aset yang dikeluarkan mahkamah pada Mac.
Keputusan itu dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Hayatul Akmal Abdul Aziz susulan prosiding dalam talian.
1MDB dan anak syarikatnya Global Diversified Investment Company Ltd (dahulunya dikenali sebagai 1MDB Global Investments Ltd) memfailkan permohonan itu pada Mei, selepas tidak menerima sebarang maklum balas daripada defendan, berikutan pengenaan injunksi Mareva.
Peguam kanan Siva Kumar Kanagasabai dari Tetuan Skrine mengesahkan keputusan itu semalam Jumaat (12 Ogos), menurut The Edge.
“Susulan itu, firma kami kini perlu memfailkan permohonan antara bahagian (di antara pihak), perintah memberikan kebenaran, afidavit sokongan dan pernyataan di bawah Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, dan penghantaran di alamat terakhir mereka yang diketahui di Tanjung Bungah,” katanya.
Mahkamah menetapkan 23 Ogos sebagai satu lagi tarikh pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Haslinda A Raof.
Dengan kebenaran yang diberikan, ahli perniagaan yang melarikan diri dan bapanya perlu memberitahu mahkamah mengapa mereka tidak mematuhi injunksi itu. Bagaimanapun, lokasi semasa mereka tidak diketahui.
The Edge melaporkan bulan lalu bahawa 1MDB mahu memulakan prosiding penghinaan terhadap kedua-dua mereka.
Hayatul Akmal, semasa perbicaraan pada 15 Mac, membenarkan injunksi ex parte Mareva terhadap Jho Low dan Hock Peng untuk membekukan aset mereka, yang berjumlah sehingga AS$1.43 bilion (RM6.35 bilion), dan kedua-duanya menyenaraikan aset ini dan berikan alamat semasa mereka kepada Tetuan Skrine.
Injunksi itu dikekalkan oleh hakim semasa perbicaraan lain pada 15 Mei, selepas mempertimbangkan hujahan daripada 1MDB dan Global Diversified Investment Company, serta daripada Jho Low dan Hock Peng, yang kemudiannya diwakili oleh Tetuan Valen & Oh.
Bagaimanapun, Tetuan Valen & Oh memohon untuk melepaskan diri setelah gagal mendapatkan arahan lanjut.
Walaupun Hayatul Akmal pada mulanya tidak membenarkannya berhenti mewakili Jho Low dan bapanya, beliau akhirnya membenarkan firma itu menarik diri pada 6 Julai.
Dana atau aset bernilai AS$1.43 bilion yang dicari dalam injunksi Mareva adalah sebahagian daripada AS$3.78 bilion yang 1MDB minta daripada Jho Low dan bapanya, serta ibu Jho Low Puan Sri Goh Gaik Ewe, abangnya Taek Szen, kakaknya May Lin, dan orang kanannya Eric Tan Kim Loong, yang dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Mei tahun lalu.
Selain meminta pemulangan dana atau aset, 1MDB dan anak syarikatnya juga menuntut ganti rugi untuk dinilai oleh mahkamah.