
Teow Wooi Huat digelar "Jho Low 2.0" sedang ditahan di Thailand ketika ini.
Seorang ahli perniagaan yang digelar sebagai “Jho Low 2.0” ditahan pihak polis Thailand selepas didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram hasil aktiviti perjudian dalam talian.
Teow Wooi Huat, dikenali sebagai Tedy, merupakan ahli perniagaan warga Malaysia yang menjalankan perniagaan di Dan Nok berhampiran sempadan daerah Sadao dan mempunyai hubungan rapat dengan selebriti seperti Jho Low yang juga rapat dengan Datuk Seri Najib Razak.
Menurut laporan Bangkok Post, Tedy ditahan di pejabatnya, MBI Group yang terletak di Sadao awal pagi semalam.
Penolong Ketua Polis Negara, Surachate Hakparn, berkata Tedy, 55, didakwa terbabit dalam pengubahan wang haram dikaitkan dengan aktiviti perjudian dalam talian di selatan Thailand.
Penahanan itu dibuat selepas penyiasat meneliti bukti hasil serbuan di sebuah pusat perjudian dalam talian di Songkhla, Nakhin Si Thammarat dan beberapa wilayah Selatan yang dikaitkan dengan Tedy.
Ahli perniagaan Malaysia itu menubuhkan MBI Group, yang beroperasi sebagai kompleks Hiburan, termasuk resort di Dan Nok.
MBI International Sdn Bhd turut menjalankan beberapa perniagaan di Malaysia.
Suspek sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada 2017 atas kesalahan dadah.
Namun, tidak diketahui apa berlaku terhadap pertuduhan itu dan bagaimana dia melepasi sempadan ke Thailand serta menjalani gaya hidup mewah.
Di Malaysia, Tedy dianggap sebagai ‘Jho Low 2’, iaitu perancang utama penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Seperti Jho Low, Tedy berasal dari Pulau Pinang dan dikenali sering bercampur dengan golongan selebriti.
Berdasarkan laporan dikeluarkan South China Morning Post, Tedy dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan penggubahan wang haram berjumlah RM336 juta (AS$83 juta) di Macau.
Polis percaya Tedy bertindak sebagai perancang utama sindiket penipuan di Macau yang menipu orang ramai untuk melabur wang mereka dalam syarikat yang tidak wujud.
Menurut polis, pelaburan itu ditapis melalui beberapa siri akaun sebelum digunakan untuk membeli hartanah mewah di Malaysia dan Thailand selain melabur dalam mata wang kripto.