Jenis penyakit untuk kakitangan sektor awam dikuarantin ditambah

Kakitangan perkhidmatan awam memperoleh kemudahan baharu cuti kuarantin bagi lain-lain jenis penyakit berjangkit yang perlu dikuarantin atau memerlukan pengasingan berkuat kuasa 4 Mac lalu.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah memaklumkan kemudahan itu sebelum ini terhad kepada enam jenis penyakit berjangkit iaitu penyakit tangan, kaki dan mulut; demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; difteria dan malaria.

Bagaimanapun, beliau berkata kemudahan itu ditambah baik dengan memasukkan penyakit berjangkit lain yang diperakukan pegawai perubatan kerajaan atau swasta selain daripada enam penyakit sedia ada dalam senarai berkenaan, lapor Bernama.

“Bagi menambah baik peraturan sedia ada selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberi perhatian dalam aspek kebajikan pegawai perkhidmatan awam dan dalam masa yang sama perlu meningkatkan kualiti, produktiviti dan penyampaian perkhidmatan, kerajaan bersetuju supaya kemudahan cuti kuarantin ditambah baik,” katanya melalui pekeliling bertarikh 4 Mac lepas.

Beliau berkata dengan penambahbaikan itu, nama kemudahan cuti kuarantin kini dipinda kepada ‘kemudahan cuti menjaga anak yang dikuarantin atau memerlukan pengasingan’.

Menurut lampiran pekeliling tersebut, anak adalah termasuk anak kandung, anak tiri tanggungan, anak angkat de facto, anak angkat dan anak pelihara.

Menurut Mohd Shafiq kadar tempoh cuti/bilangan hari bagi cuti itu dikekalkan maksimum lima hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan diberikan oleh mana-mana pegawai perubatan kerajaan atau swasta mengikut mana lebih rendah dengan pindaan termasuk Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am.

“Pegawai yang memerlukan tempoh tambahan boleh memohon cuti rehat/cuti rehat khas atau cuti-cuti lain yang berkelayakan.

Selain itu, apabila keadaan seseorang pegawai mengizinkan dan berupaya melaksanakan tugasan di rumah, Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan Bekerja Dari Rumah sepertimana peruntukan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) (Dasar BDR),” menurut pekeliling itu.

Mohd Shafiq berkata penambahbaikan itu dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, namun tertakluk kepada pihak berkuasa masing masing.

BERITA BERKAIT
POPULAR