
Jenazah Adibah Noor dibawa untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai di Kuala Lumpur, pagi tadi. - Gambar Agenda Daily
Jenazah Allahyarham Adibah Noor, 52, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keramat Permai, Taman Keramat di ibu negara, pada jam 11.30 pagi tadi.
Selain bapa Allahyarham Adibah, Mohd Omar Zainal Abidin, 89, ahli keluarga dan sanak-saudara, pengebumian itu turut dihadiri Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.
Turut memberi penghormatan terakhir adalah rakan artis antaranya Datuk M Nasir, Datuk Afdlin Shauki, Anuar Zain, Ziana Zain, Linda Onn, Remy Ishak, Sharifah Amani, Saiful Apek, Nadiya Nissa, Nikki Palikat, Suki dan ramai lagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat.
Bapa arwah turut dilihat memasuki bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir.
Allahyarham Adibah atau nama sebenar, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada jam 7.30 malam.
Difahamkan Allahyarham sudah lama menderita penyakit kanser namun merahsiakannya daripada pengetahuan ramai pihak.