Jemaah pulang umrah cetus kluster baharu di Sabah

Sabah mencatat satu kluster baharu setelah mengesan seorang jemaah yang pulang daripada mengerjakan umrah di Arab Saudi, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Menurutnya kluster baharu ‘Kluster Millenium Saudi’ membabitkan jemaah dari Sandakan yang dikategorikan sebagai kes import.

Katanya kes indeks kluster berkenaan adalah seorang lelaki tempatan berumur 40 tahun dengan sejarah perjalanan menunaikan umrah bermula 4 hingga 15 Disember lalu di Arab Saudi.

“Saringan PCR dibuat di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur setibanya kes indeks dari Arab Saudi, sebelum menyambung penerbangan domestik ke Sandakan dan seterusnya menjalani kuarantin wajib di rumah.

“Bagaimanapun, beliau dimaklumkan keputusan saringan PCR positif pada 17 Disember.

“Saringan dijalankan terhadap 57 kontak rapat mendapati 10 lagi kes positif terdiri daripada ahli rombongan umrah bersama kontak rapat lain, menjadikan jumlah kumulatif 11 kes.

“Semua pesakit berserta kontak rapat telah dikuarantin dan diberi rawatan sesuai,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sabah hari ini merekodkan 195 jangkitan baharu, turun berbanding 224 kes yang dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 239,019 kumulatif positif, dengan 230,530 pesakit sembuh, dan 2,767 kes kematian.

Sehingga semalam, negeri itu mencatat 5,527 kes aktif, termasuk 4,737 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 373 ditempatkan di PKRC; 378 dimasukkan ke hospital; dan 39 dirawat di unit rawatan rapi dengan lapan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, seramai 61.0 peratus atau 2,382,628 populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, manakala 62.5 peratus atau 2,442,574 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Seramai 777,631 individu dewasa pula menerima suntikan dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR