
Seorang jemaah haji Malaysia dari Kuala Nerang, Kedah, meninggal dunia di Makkah pada 25 Jun lalu.
Seorang jemaah haji lelaki Malaysia berusia 62 tahun meninggal dunia di Makkah, pada 25 Jun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Beliau berkata warga emas berkenaan meninggal dunia disebabkan jangkitan kuman yang teruk, menurut laporan Bernama.
Warga emas berasal dari Kuala Nerang, Kedah itu meninggal dunia di Hospital King Faisal setelah dirujuk pakar kesihatan Lembaga Tabung Haji (TH).
Selain itu, Idris berkata setakat Sabtu (2 Julai) lepas seramai 13 jemaah haji Malaysia sedang dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah manakala tiga lagi di hospital Arab Saudi.
“Tabung Haji sentiasa prihatin dengan kebajikan setiap jemaah, terutama dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik,” katanya pada sidang media di bangunan Abraj Al Janadriyah yang menempatkan ibu pejabat dan penginapan jemaah Malaysia.
Selain itu, Idris mengingatkan jemaah haji supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi dan mengikut arahan petugas TH.
“Saya berharap semua jemaah haji Malaysia mengelakkan diri dari terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Kerajaan Malaysia dan TH sentiasa memantau dengan teliti berhubung perkara berkaitan isu keselamatan di Tanah Suci dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau turut menasihatkan jemaah haji supaya terus menjaga kesihatan dan tidak terlalu terdedah dengan cuaca panas yang boleh menyebabkan strok haba.