Jelebu terkering tapi alami banjir terburuk di Negeri Sembilan

Bencana banjir yang melanda lapan negeri, termasuk Negeri Sembilan minggu lalu disifatkan banyak pihak sebagai antara yang terburuk pernah berlaku di negara ini dalam tempoh 50 tahun.

Musibah yang datang ketika rakyat masih lagi diancam pandemik Covid-19, menambah resah mereka yang sudah sedia terbeban, khususnya dari segi ekonomi.

Di Negeri Sembilan, Jelebu yang merupakan daerah paling subur dan terkenal dengan durian Jelebu, antara yang paling teruk terjejas dalam bencana itu, melibatkan 11 kawasan dengan puluhan buah kampung, selepas hujan lebat selama lebih lima jam sejak 6 petang pada 18 Disember lalu.

Penduduk di kampung yang terkesan, antaranya Kampung Chennah, Kampung Puom dan Kampung Pah, iaitu kawasan paling teruk terjejas, langsung tidak menyangka kejadian hujan lebat luar biasa itu akan memberi kesan yang amat besar kepada mereka.

Kebanyakan mangsa yang ditemui Bernama reda dengan ujian yang menimpa mereka, namun masing-masing mengakui masih lagi dalam keadaan terkejut apabila melihat begitu banyak kerosakan yang ditinggalkan oleh bencana itu, termasuk kehilangan tempat tinggal kerana rumah dihanyutkan arus, atau hanya tinggal bumbung, atau senget dan tidak selamat didiami, atau ranap sepenuhnya.

Kerugian dari segi ternakan dan tanaman juga tidak terkira, sementara beberapa lokasi tumpuan pelancong turut musnah.

Sekalipun begitu, warga Jelebu tetap bersyukur kerana tiada yang kehilangan ahli keluarga dalam bencana tersebut yang menyaksikan paras banjir setinggi lebih dua meter.

Daerah terkering di Negeri Sembilan

Dari segi geografi, Jelebu terletak di penghujung Banjaran Titiwangsa dengan bentuk muka bumi berbukit-bukau. Justeru, daerah yang bersempadan dengan Selangor dan Pahang serta diapit oleh daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jempol itu agak terlindung daripada hujan.

Malah, daerah itu adalah kawasan paling kering di Negeri Sembilan.

Namun, pada 18 Disember lalu, lima stesen hujan di daerah itu merekodkan taburan hujan yang luar biasa iaitu melebihi 100 mm, sedangkan pada hari sebelumnya, lima stesen terbabit – Ulu Klawang, Chenor, Ladang Pertang, Ladang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Jelebu serta Chennah – mencatatkan paras normal bawah 60 mm.

Pada hari kejadian, stesen Ulu Klawang mencatatkan jumlah taburan hujan tertinggi 199 mm dalam tempoh lima jam, bersamaan taburan hujan untuk sebulan, sementara stesen hujan lain merekodkan antara 77 mm dan 180 mm.

Menurut Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, hujan lebat yang berterusan menyebabkan banjir kilat yang teruk di beberapa kawasan rendah dan berisiko banjir di lembangan Sungai Triang.

“Kebanyakan kawasan yang terjejas tempoh hari menunjukkan kawasan itu telah mengalami taburan hujan melebihi 100 ARI (Average Recurrence Interval),” katanya kepada Bernama.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan air dari sublembangan Sungai Triang seperti Sungai Chennah, Sungai Klawang, Sungai Chempedak, Sungai Gelami, Sungai Kenaboi dan Sungai Jelebu tidak dapat mengalir ke Sungai Triang, sekali gus menyebabkan banjir.

Keadaan bertambah buruk apabila penduduk langsung tidak bersedia untuk menghadapi bencana di luar jangka itu, katanya yang menyifatkan banjir di Jelebu adalah yang terburuk sejak 15 tahun yang lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri akan menyediakan rumah bagi penduduk yang kehilangan kediaman dalam bencana tersebut.

Antara kesan banjir besar yang melanda beberapa kampung di daerah Jelebu, Negeri Sembilan bermula 18 Disember lalu. – Gambar FB

Ketabahan mangsa banjir

Sehari selepas bencana itu, penulis ke lokasi untuk melihat sendiri situasi di kawasan terjejas, dan perjalanan sejauh kira-kira 90 kilometer dari sini yang lazimnya tidak sampai satu jam, mengambil masa hampir tiga jam kerana hanya satu laluan sahaja yang boleh dilalui.

Penulis terpaksa memandu melalui Kuala Pilah ke Kuala Klawang yang juga jalan alternatif ke pantai timur dari Negeri Sembilan, kerana jalan utama ke Jelebu menerusi Bukit Tangga ditutup akibat kejadian tanah runtuh.

Kampung Pah adalah destinasi pertama yang penulis kunjungi selepas tiba di Jelebu, dan antara pemandangan pertama yang “menyambut” penulis ialah lumpur setinggi buku lali, pagar rumah yang tercabut selain jalan raya rosak teruk.

Seorang mangsa, Zaleha Shaharudin, 65, berkata dia tidak mampu bersuara selepas melihat semua barangan di dalam rumahnya musnah.

“Air naik setinggi satu meter dalam masa yang singkat,” katanya, menambah kali terakhir dia mengalami banjir besar ialah pada 2005, namun tidak seteruk musibah 18 Disember tersebut.

Warga emas Ibrahim Taib, 62, mengalami nasib lebih malang apabila rumah yang didiami bersama isteri dan anak-anak selama 35 tahun kini hanya tinggal tapak.

Bersama linangan air mata, Ibrahim memberitahu Bernama kejadian berlaku sekitar 2 pagi.

“Ketika air sedang naik, kami sekeluarga pindah ke tempat cuci kereta bersebelahan rumah saya kerana kawasan ini tinggi, namun pada 2 pagi anak kejutkan saya beritahu rumah telah hanyut. Kejadian berlaku sekelip mata,” katanya.

Penulis difahamkan ada banyak lagi keluarga di Kampung Chennah dan Kampung Puom mengalami nasib serupa – kehilangan tempat tinggal.

Bencana itu menyebabkan banyak infrastruktur musnah, antaranya jambatan yang menghubungkan Kampung Bemban dan Kampung Jerang, menjejaskan kira-kira 200 penduduk.

Air terjun berselut

Kawasan tumpuan pelancong seperti Taman Eko Rimba Jeram Toi yang menampilkan keindahan air terjun empat tingkat, turut terkesan dengan airnya kini keruh serta kawasan menjadi berselut.

Kejadian tanah runtuh pula memusnahkan infrastruktur termasuk pintu gerbang yang lenyap selain puluhan pokok tumbang, sementara gerai makanan di pusat rekreasi itu kebanyakannya teralih dari kedudukan asal.

Turut terjejas ialah 50 penternak ikan air tawar yang menganggarkan kerugian keseluruhan sekitar RM12 juta.

Banjir berselut turut menyebabkan jalan raya di beberapa kawasan kini berlumpur tebal dan memerlukan masa yang lama untuk kembali kepada keadaan asal.

Usaha membantu mangsa serta pembersihan kawasan kini giat dijalankan oleh pihak berkuasa – negeri dan persekutuan – dibantu oleh badan bukan kerajaan serta komuniti dari daerah berjiran.

Bencana yang berlaku itu sebenarnya satu isyarat yang memerlukan pihak berwajib serta penduduk amnya, sentiasa berwaspada dan bersedia kerana dunia kini menghadapi perubahan iklim yang turut membawa cuaca ekstrem.

BERITA BERKAIT
POPULAR