Jelas Najib seleweng Felda, terduduk nak jawab: Muhyiddin

Datuk Seri Najib Razak melakukan penyelewengan yang nyata dan jelas dalam isu Felda sehingga mengakibatkan  agensi tersebut mengalami kerugian yang besar, malah sudah ada kes mahkamah yang dijatuhkan melibatkan bekas Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad yang terlibat dalam rasuah.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sekalipun diajak berdebat Najib tidak akan dapat menjawab dan menepis segala dakwaan berhubung keputusan dibuatnya sebelum ini ketika menjadi Perdana Menteri (PM) yang  menjadi punca kepada  kerosakan dialami Felda sehingga dibebani hutang yang banyak.

“Beliau (Najib) sendiri mencampuri urusan pentadbiran Felda yang saya dimaklumkan tidak dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah seperti penyenaraian (FGV) yang membawa kesan kerugian yang besar kepada Felda dan isu pembelian ladang Eagle High daripada kawan baik dia Peter Sondakh yang harganya bernilai 1 bilion tapi bayar lebih daripada 2.2 bilion.

“Dan ini dia (Najib) pun tak akan terjawab, dia akan terduduk nak jawab macam mana cara nak jelaskan,” kata Muhyiddin semasa pelancaran TV White Space di Bukit Kepong pagi ini.

Jelas Muhyiddin, susulan keputusan yang diambilnya semasa memegang tampuk pentadbiran sebelum ini menghapuskan hutang peneroka menyebabkan UMNO kepanasan bontot dan cuba mendapatkan kredit walhal mereka langsung tidak pernah mengambil berat kebajikan peneroka Felda.

“Mereka kata ini desakan UMNO.

“Apa desakan UMNO? UMNO memimpin negara berpuluh-puluh tahun. Kalau dia sedar tentang masalah itu, waktu itu dia sudah selesaikan masalah,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar Najib untuk berdebat dalam isu melibatkan Felda sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung 12 Mac ini.

Najib bagaimanapun mengelak untuk berdebat dengan Azmin dan sebaliknya mahu berdebat dengan Muhyiddin.

“Kenapa Najib tak nak berdebat dengan saya? Sebab saya yang audit pengurusan Felda. Saya yang dipertanggungjawabkan menyiapkan kertas putih dan saya yang bentangkan kertas itu di Parlimen,” kata Azmin.

Untuk rekod, ketika membentangkan kertas putih itu di Parlimen pada 2019 lalu, Azmin berkata penyenaraian FGV telah menjana tunai sebanyak RM10.5 bilion, di mana Felda telah memperoleh tunai sebanyak RM6 bilion dan baki selebihnya menjadi milik FGV.

Perolehan Felda menurut Azmin, sewajarnya dimanfaatkan untuk membangun kapasiti masa depan Felda dan pembangunan ladang serta program modenisasi yang merangkumi teknologi serta R&D.

“Malangnya, RM1.4 bilion daripada hasil tunai yang diperolehi oleh Felda melalui penyenaraian FGV telah dibelanjakan untuk membuat pelaburan yang sangat meragukan melibatkan transaksi gelap (shady transactions).

“Manakala, sejumlah RM2.7 bilion pula telah digunakan untuk meraih sokongan politik menjelang Pilihan Raya Umum.

Menurutnya, kedudukan kewangan Felda bertambah tenat akibat pembaziran berterusan dengan pembelian aset pada kadar yang lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Sebagai contoh, pembelian Eagle High daripada PT Rajawali Capital International (yang dimiliki oleh Peter Sondakh) pada kadar 96% lebih tinggi berbanding dengan harga pasaran ketika itu. Pada Mac 2019, pelaburan berjumlah RM2.3 bilion itu hanya mempunyai nilai pasaran RM500 juta.

“Najib yang merupakan Menteri Kewangan pada ketika itu, terlibat dalam proses pelaburan ini dengan memberi arahan untuk menyegerakan transaksi tersebut dengan pembiayaan oleh Kementerian Kewangan.

“Tindakan ini bukan sahaja tidak bertanggungjawab bahkan bersifat jenayah. Kesan tindakan durjana ini menyebabkan Felda menanggung liabiliti yang tinggi.

“Situasi Felda menjadi semakin serius dan parah akibat ‘corporate malfeasance’ atau kedurjanaan urus tadbir korporat,” kata Azmin dalam pembentangan itu.

BERITA BERKAIT
POPULAR