Jawi hadkan jemaah solat fardu, Jumaat mulai hari ini

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan membenarkan hanya 50 jemaah.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan membenarkan hanya 50 jemaah menunaikan solat fardu dan solat Jumaat bagi semua masjid dan surat di Wilayah Persekutuan yang berkapasiti 1,000 orang ke atas, mulai hari ini.

Manakala bagi masjid dan surau yang mempunyai kapasiti 1,000 orang ke bawah pula, Jawi menetapkan hanya 20 jemaah boleh melaksanakan solat berkenaan.

Pengarah Jawi, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata peraturan baharu itu akan berkuat kuasa sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bagi solat fardu di masjid, surau Jumaat dan surau, bilangan jemaah dibenarkan adalah tidak melebihi 12 individu yang terdiri daripada pegawai masjid dan Ahli Jawatankuasa (AJK) sahaja.

“Bagaimanapun, bagi solat Jumaat dan solat fardu di surau Jumaat Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bilangan jemaah dibenarkan hanya 12 orang sahaja yang terdiri dari imam, bilal, noja dan AJK.

“Bagi solat fardu di surau PPR dan PA DBKL, bilangan jemaah dibenarkan hanya tiga orang sahaja yang terdiri daripada imam, bilal dan noja atau AJK,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula solat Jumaat hendaklah digantikan dengan solat Zohor, manakala bagi solat fardu dibenarkan dengan bilangan jemaah tiga orang sahaja iaitu imam, bilal dan noja atau AJK.

Katanya pengurusan jenazah yang membabitkan bukan pesakit Covid-19 di kawasan dikenakan PKPD, hendaklah dilaksanakan di rumah atau premis persendirian dengan had maksimum jurumandi dan petugas seramai lima orang.

“Solat jenazah hendaklah tidak melebihi 12 orang jemaah serta kehadiran bagi pengebumian jenazah tidak melebihi 15 orang termasuk ahli keluarga terdekat,” katanya.

POPULAR