
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan terdapat aduan dan maklumat yang diterima melibatkan kesalahan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM Datuk Razim Mohd Nor berkata perkara ini dipandang serius bagi memastikan institusi kampung sentiasa terpelihara dan bebas daripada sebarang perlakuan jenayah rasuah, khususnya yang membabitkan kepentingan masyarakat setempat.
“Berdasarkan data dan statistik memang terdapat maklumat dan aduan yang diterima oleh SPRM berhubung rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku dalam kalangan pengerusi JPKK atau ketua kampung,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Antirasuah dan Tadbir Urus Dana Kerajaan Dalam Kalangan JPKK Pahang di Kuantan hari ini.
Misalnya di Pahang, Razim berkata sebanyak 21 maklumat dan aduan melibatkan JPKK telah diterima dalam tempoh lima tahun bermula 2018 merangkumi 14 maklumat salah guna kuasa, enam menerima rasuah dan satu tuntutan palsu.
Katanya daripada jumlah itu satu kes telah dituduh di mahkamah, dua kes masih dalam siasatan, lima kes menerima surat untuk memperbaiki kelemahan prosedur JPKK, manakala 13 kes tiada tindakan lanjut.
Menyentuh mengenai program yang dihadiri lebih 200 peserta dari Kuantan, Maran, Rompin dan Pekan itu, beliau berkata ia bertujuan memberi pengetahuan dan kesedaran mengenai fungsi SPRM, kesalahan rasuah serta tanggungjawab JPKK dalam menangani isu rasuah setempat.
Menurutnya JPKK adalah benteng terakhir yang akan memastikan tidak berlaku sebarang kebocoran terhadap peruntukan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk rakyat sama ada pembangunan fizikal, kecemasan, kebajikan dan sosial.