Jawatankuasa khas siasat kematian Adib ditubuhkan, kata PM

Sebuah jawatankuasa khas bagi melakukan siasatan menyeluruh terhadap ke kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim akan ditubuhkan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam.

Ismail berkata, jawatankuasa ini akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

“Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Adib, 24, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu katanya, jemaah menteri juga bersetuju agar semakan semula undang-undang dibuat berkenaan kes Pulau Batu Puteh.

Katanya, pasukan petugas khas ini akan diwujudkan bagi membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

“Usaha ini bertujuan untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh,” katanya.

Menurutnya, pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Di samping itu, Ismail berkata kabinet turut bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas khas bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan diambil terhadap dakwaan bekas peguam negara, Tommy Thomas di dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness

“Pasukan petugas khas siasatan yang dicadangkan ini antara lain bertujuan untuk menyiasat dakwaan Tommy Thomas mengenai penyalahgunaan kuasa dalam isu pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik serta pelanggaran sumpah kerahsiaan,”katanya lagi.

BERITA BERKAIT
POPULAR