Jawatan MT UMNO tak sah, Pendaftar Pertubuhan arah adakan pemilihan

Semua jawatan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak lagi sah selepas tempoh penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun 2021 lalu, kata Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), hari ini.

Dalam satu surat kepada Setiausaha Agung UMNO bertarikh hari ini, JPPM mencadangkan UMNO menetapkan satu tarikh untuk mengadakan mesyuarat pemilihan MT dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

Surat ditandatangani Pendaftar Pertubuhan Jasri Kasim memaklumkan pihaknya menerima maklum balas daripada Setiausaga Agung UMNO bertarikh 30 Julai 2021 mengenai petikan minit mesyuarat MT pada 7 Julai 2021 berhubung keputusan menangguhkan pemilihan MT, bahagian, cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri untuk penggal 2021/2023.

Dalam surat itu UMNO menyatakan:

Majlis Kerja Tertinggi berhak menangguhkan pemilihan di peringkat Majlis Kerja Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Penangguhan ini tidak boleh lebih daripada lapan belas (18) dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

Jasri Kasim bagaimanapun berkata:

“JPPM Berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021. Oleh itu keputusan MKT UMNO untuk menangguhkan pemilihan jawatan di semua peringkat selama 18 bulan pada 7 Julai 2021 adalah tidak sah.”

Pada 29 Jun lalu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan MT menetapkan parti merujuk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mendapatkan panduan kerana negara dan rakyat sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Katanya beliau telah menulis surat kepada Ketua Pengarah (KP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain menulis kepada Ketua Pengarah JPPM berhubung perkara berkenaan.

Katanya surat jawapan telah diperoleh daripada KP KKM bertarikh 10/5/21; KP JPPM bertarikh 2/6/21 dan MKN bertarikh 11/6/21 yang mencadangkan mesyuarat dan pemilihan UMNO dibuat secara dalam talian.

Untuk rekod terdapat 66,287 mesyuarat dan pemilihan yang perlu diadakan membabitkan kehadiran seramai 3.3 juta ahli UMNO iaitu pada peringkat cawangan sebanyak 21,135 mesyuarat; Wanita (21,058 mesyuarat); Pemuda (15,496 mesyuarat); dan Puteri (8,598 mesyuarat).

Terdapat juga 764 persidangan perwakilan bahagian yang terdiri daripada 191 persidangan untuk setiap empat peringkat di Bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri, yang semuanya mesti dijalankan secara serentak.

BERITA BERKAIT
POPULAR