Jangkitan varian South Afican, India di Malaysia meningkat: KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan tujuh lagi kes varian South Afican dan India Covid-19 dikesan sejak 10 Mei hingga 14 Mei lalu. Kedua-duanya adalah virus yang mudah tersebar dan berbahaya.

Dalam satu kenyataan malam ini, KKM berkata kes itu dikesan melalui analisis terhadap 10 sampel jujukan genom penuh virus SARS-CoV-2 (Covid-19).

“Terkini melalui survelan genomik yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas 10 sampel Covid-19 dari 10 Mei 2021 sehingga 14 Mei 2021 telah mengenal pasti dan mengesahkan kewujudan 7 lagi kes Variant of Concern (VOC),” kata KKM.

Kenyataan itu menyatakan empat daripada kes itu membabitkan jangkitan tempatan varian South Afican B.1.351 yang telah dikesan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan tiga kes bukan warganegara dijangkiti varian India B.1.617.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang dijangkiti oleh varian South Afican B.1.351 adalah sebanyak 66 kes, dan varian India B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak lima kes.

Data varian South Afican B.1.351

KKM berkata, tiga kes baharu membabitkan bukan warganegara dengan varian India B.1.617.2 dikesan di Malaysia, dengan dua daripadanya dikesan melalui saringan pintu masuk antarabangsa (PMA) dan satu kes lagi dikesan melalui saringan bergejala.

“Kesemua kes mempunyai sejarah perjalanan ke India. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) yang telah dikesan di negara adalah sebanyak lima kes,” katanya.

Sejak 3 Februari lalu,VOC mula dikesan di Malaysia di mana duakes pertama varian UK B.1.1.7 telah dikesan melalui saringan di pintu masuk antarabangasa (PMA). Saringan di PMA seterusnya mengesan dua kes varian Nigerian B.1.525 pada 5 Mac 2021.

Pada 18 Mac 2021, varian South Afican B.1.351 pula telah ditemui di kalangan dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kluster Jalan Lima serta satu kes masing-masing dari Kluster Kebun baru dan saringan kontak rapat.

Sehingga 14 April 2021, sejumlah 17 kes positif Covid-19 tempatan dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 di Malaysia.

KKM juga berkata, sehingga kini, analisis filogenetik serta hubung kait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah berpunca daripada jangkitan yang sama.

BERITA BERKAIT
POPULAR