Jangkitan turun sedikit, kes aktif hampiri 300,000

Jumlah jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam turun sedikit berbanding Khamis, dengan tujuh negeri mencatat peningkatan, sementara Selangor kekal menjadi ‘titik panas’ wabak itu di Malaysia.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, dalam tempoh itu 30,644 jangkitan baharu direkodkan di seluruh negara, menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,367,871 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN, selepas Indonesia dan Filipina.

Sehingga semalam, seramai 3,040,850 pesakit telah sembuh, 32,591 kes kematian dilaporkan, dan 294,430 kes masih aktif, bertambah 7,909 kes berbanding Khamis.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 282,073 individu kini dikenakan perintah kuarantin di rumah, sementara 4,076 pesakit dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Seramai 7,949 pesakit dimasukkan ke hospital, turun berbanding 8,039 pesakit pada Khamis, dan 332 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) – bertambah berbanding 327 pada Khamis – dengan 196 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Selangor kekal menjadi negeri ‘panas’, walaupun jangkitan harian semalam turun kepada 7,290 kes berbanding 7,458 pada Khamis.

Sementara itu, jangkitan di Kedah meningkat daripada 2,579 kes pada Khamis kepada 2,621 kes semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 224,891 kes, dengan 192,731 pesakit telah sembuh, 2,246 kes kematian dan 29,914 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 29,176 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 260 ditempatkan di PKRC; 445 dimasukkan ke hospital; dan 33 dirawat di ICU, dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, 1,579,175 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, 1,636,942 atau 74.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 661,911 atau 42.6 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sebanyak 24 daripada 298 kluster Covid-19 yang dikesan di Kedah masih aktif, dengan 21 daripadanya melibatkan pendidikan; tempat kerja (dua); dan kumpulan berisiko tinggi (satu).

Jangkitan di Kelantan turut meningkat daripada 1,746 kes pada Khamis kepada 1,836 semalam, diikuti Perak (1,578 semalam, 1,552 Khamis); Sarawak (460 semalam, 416 Khamis); Labuan (441 semalam, 152 Khamis); Perlis (273 semalam, 262 Khamis); dan Putrajaya (156 semalam, 120 Khamis).

BERITA BERKAIT
POPULAR