Jangkitan harian turun semalam, Selangor lepasi angka 1 juta kes

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam pada Isnin (7 Mac 2022) turun sedikit berbanding Ahad, tatkala jumlah kumulatif positif di Selangor kini mencecah lebih sejuta kes.

Dalam tempoh 24 jam itu sebanyak 26,856 jangkitan baharu disahkan positif Covid-19, berbanding 27,435 kes yang dicatat pada Ahad, lapor Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Data laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu hingga semalam meningkat kepada 3,649,463 kes – keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Daripada jumlah kumulatif positif itu, 3,311,854 kes dilaporkan telah pulih, termasuk 30,726 pesakit yang sembuh semalam, manakala 33,305 kes kematian direkodkan dan 304,304 kes masih aktif.

Data terbaharu itu juga menunjukkan seramai 291,827 pesakit menjalani kuarantin di rumah berbanding 295,704 pada Ahad, dan 3,373 pesakit lagi ditempatkan di PKRC (3,510 Ahad).

Seramai 8,736 pesakit juga kini dirawat di hospital, meningkat berbanding 6,658 pesakit pada Ahad, manakala 368 pesakit masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), turun daripada 379 pada Ahad, dengan 223 pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (216 pada Ahad).

Data itu juga menunjukkan walaupun Selangor merekodkan penurunan kes dua hari berturut-turut, negeri itu kini mencatat kumulatif positif sebanyak 1,002,467 kes setelah 6,757 jangkitan baharu dikesan semalam.

Keseluruhannya seramai 912,709 pesakit Covid-19 di Selangor telah sembuh, 10,260 kes kematian dilaporkan, dan 79,498 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 77,560 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 309 ditempatkan di PKRC; 1,580 dimasukkan ke hospital; dan 49 pesakit dirawat di ICU dengan 31 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sementara itu statistik juga menunjukkan lapan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan jumlah jangkitan harian semalam iaitu Kedah, Kelantan, Pahang, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, dan Putrajaya.

Kedah merekodkan 2,884 kes baharu semalam berbanding 2,721 pada Ahad menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 252,601 kes, dengan 220,308 pesakit telah sembuh, dan 29,947 kes masih aktif.

Seramai 12 pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Kedah semalam, menjadikan kumulatif sebanyak 2,346 kes kematian sejak awal 2020 lalu.

Jumlah kematian yang direkodkan semalam adalah sama selama empat hari berturut-turut sejak 4 Mac lalu.

Daripada jumlah kes aktif di Kedah, seramai 29,179 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 173 ditempatkan di PKRC; 557 dimasukkan ke hospital; dan 38 dirawat di ICU, dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Ahad, 6 Mac lalu, seramai 1,579,614 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap menerima vaksin Covid-19 masing-masing, 1,644,538 atau 75.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 682,872 atau 43.9 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Kelantan pula mencatat sebanyak 1,896 kes baharu berbanding 1,279 kes pada Ahad, diikuti Pahang (1,858 kes baharu, 1,844 Ahad); Pulau Pinang (1,836 kes baharu, 1,663 Ahad); Negeri Sembilan (1,575 kes baharu, 1,565 Ahad); Terengganu (1,270 kes baharu, 918 Ahad), Melaka (863 kes baharu, 796 Ahad); dan Putrajaya (182 kes baharu, 171 Ahad).

BERITA BERKAIT
POPULAR