Jangkitan turun empat hari berturut-turut, kes aktif bawah 300,000

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (28 Februari 2022) turun lagi – empat hari berturut-turut – berbanding pada Ahad, sekali gus menunjukkan perkembangan positif penularan varian Omicron semakin berkurangan.

Dalam tempoh 24 jam itu, sebanyak 23,100 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 24,466 kes pada Ahad, menjadikan kumulatif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 3,442,736 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), dalam tempoh itu, seramai 3,442,736 pesakit telah sembuh, 32,749 kes kematian dan kini terdapat 293,423 kes masih aktif, turun berbanding lebih 300,000 pada Ahad.

Daripada jumlah kes aktif itu, 281,714 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 3,467 ditempatkan di PKRC; 7,881 dimasukkan ke hospital (meningkat berbanding 7,864 pada Ahad); dan 361 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) – 353 pada Ahad – dengan 193 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Menerusi laman sesawang kendalian KKM, CovidNOW yang dikemas kini pagi ini, statistik menunjukkan enam negeri merekodkan peningkatan jangkitan harian semalam, dengan Kedah mencatat 2,782 kes baharu berbanding 2,060 pada Ahad.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif di Kedah bertambah kepada 232,195 kes, dengan 201,042 pesakit telah sembuh, 2,266 kes kematian dilaporkan dan 28,887 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 28,192 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 221 ditempatkan di PKRC; 431 dimasukkan ke hospital; dan 43 pesakit dirawat di ICU, dengan 25 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam seramai 1,579,323 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, 1,640,898 atau 74.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 672,057 atau 43.2 peratus individu dewasa telah menerima dos penggalak.

Sementara itu,, Johor yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri pada 12 Mac ini pula merekodkan 2,367 kes baharu berbanding 1,818 kes pada Ahad, dan diikuti Pulau Pinang (1,728 kes baharu, 1,548 pada Rabu).

Perak pula merekodkan 1,335 jangkitan baharu semalam berbanding 1,330 pada Ahad; Kelantan (1,200 kes baharu, 1,146 pada Ahad); dan Terengganu (756 kes baharu, 731 pada Ahad).

Selangor, walaupun kes turun, kekal mencatat jumlah tertinggi sebanyak 6,098 kes semalam berbanding 6,823 kes pada Ahad.

BERITA BERKAIT
POPULAR