Jangkitan turun bawah 30,000

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, 12 Mac 2022, turun semula di bawah paras 30,000 kes, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Statistik laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan dalam tempoh itu sebanyak 26,250 jangkitan baharu direkodkan berbanding 32,800 kes pada Jumaat.

Angka itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,801,036 kes, dengan 3,443,532 pesakit telah sembuh, 33,720 kematian dicatatkan dan 323,784 kes masih aktif, meningkat berbanding 322,700 yang dicatat pada Jumaat.

Daripada jumlah kes aktif itu pula seramai 311,946 pesakit menjalani kuarantin di rumah, meningkat berbanding 310,351 pesakit pada Jumaat, manakala 2,780 pesakit ditempatkan di PKRC (3,111 pada Jumaat).

Seramai 8,691 pesakit Covid-19 dimasukkan ke hospital, turun berbanding 8,858 pada Jumaat, dan 367 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), turun berbanding 380 pada Jumaat, dengan 211 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (231 pada Jumaat).

Data KKM juga menunjukkan hanya dua negeri dan Wilayah Persekutuan sahaja semalam yang merekodkan peningkatan jangkitan harian.

Perak merekodkan 1,555 jangkitan baharu semalam meningkat berbanding 1,494 kes pada Jumaat, menjadikan kumulatif positif di negeri itu meningkat kepada 167,672 kes, dengan 153,022 pesakit telah sembuh, 1,619 kematian, dan 13,031 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 12,000 pesakit di Perak sedang menjalani kuarantin di rumah; 111 ditempatkan di PKRC; 891 dimasukkan ke hospital; dan 29 dirawat di ICU, dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat 11 Mac 2022, seramai 1,865,585 atau 74.4 peratus populasi di Perak telah lengkap divaksinasi, 1,971,669 atau 78.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,100,636 atau 58.6 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Labuan pula merekodkan 125 kes baharu berbanding 113 kes pada Jumaat.

Selangor, walaupun kes harian menurun semalam, namun kekal mencatat jumlah tertinggi dengan 6,472 kes berbanding 9,120 kes pada Jumaat.

BERITA BERKAIT
POPULAR