Jangkitan turun, 258,985 kes aktif, empat kluster pendidikan dikesan

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam, Isnin, 21 Februari 2022, turun sedikit berbanding Ahad, namun kekal mengatasi angka tertinggi dicatat sepanjang 2020 dan 2021.

Berdasarkan statistik laman sesawang Covidnow kendalian Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi, seramai 25,099 individu disahkan dijangkiti Covid-19, berbanding 26,832 kes pada Ahad.

Angka itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,246,779 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN.

Dalam tempoh 24 jam itu juga seramai 17,749 pesakit telah sembuh, menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,955,404 kes, sementara kes kematian naik kepada 32,390 setelah 43 lagi pesakit Covid-19 meninggal dunia direkodkan semalam.

Sebanyak 258,985 kes aktif turut dilaporkan dengan 245,875 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 5,055 ditempatkan di PKRC; 7,783 dimasukkan ke hospital; dan 272 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 164 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hanya empat kluster baharu dilaporkan semalam dengan semuanya membabitkan kluster pendidikan iaitu dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Selangor.

Dua kluster pendidikan di Kelantan ialah Kluster Kampung Kubang Keladi melibatkan daerah Bachok dan Kota Bharu dengan 43 kes positif; dan Kluster Kampung Landar, Pasir Mas (30 kes).

Kluster Jalan Pantai Telok Pelanduk pula dicatat di Port Dickson, Negeri Sembilan melibatkan sembilan kes, dan Kluster Jalan Tasik Puteri di Gombak, Selangor (32 kes).

Bagi pecahan kes harian pula sebanyak 10 negeri merekodkan penurunan jangkitan, manakala kes di enam negeri lagi meningkat.

Kes di Johor – negeri yang akan berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac depan – meningkat semula daripada 2,644 pada Ahad kepada 2,697 semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 304,241 kes.

Negeri itu juga merekodkan 274,156 kes sembuh, 3,996 kes kematian dan 26,089 kes aktif, termasuk 24,477 pesakit menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 357 lagi pesakit Covid-19 di Johor ditempatkan di PKRC; 1,220 dimasukkan ke hospital; dan 35 pesakit dirawat di ICU dengan 26 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga Ahad seramai 3,057,015 atau 80.6 peratus populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, manakala 3,134,197 atau 82.6 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,803,661 atau 66.0 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Johor juga mencatat 66 kluster lagi yang masih aktif.

Sementara itu, Kedah turut mencatat peningkatan kes harian semalam daripada 2,254 pada Ahad kepada 2,486 kes semalam; diikuti Kelantan (1,900 semalam, 1,605 Ahad); Negeri Sembilan (1,325 semalam, 690 Ahad); Perak (465 semalam, 358 Ahad); dan Perlis (219 semalam, 113 Ahad).

BERITA BERKAIT
POPULAR