
Data sehingga 23 Januari 2023.
Jumlah jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 23 Januari 2023) mencatat penurunan mendadak iaitu terendah sejak September 2020, ketika awal virus SARS-CoV-2 mula merebak.
Semalam, sebanyak 142 jangkitan baharu dilaporkan, berbanding 309 kes yang direkodkan pada Ahad, lapor Kementerian Kesihatan (KKM).
Kali terakhir negara mencatat jangkitan harian terendah ialah pada 30 September 2020 iaitu sebanyak 89 kes, sebelum mula meningkat sehingga mencatat kes tertinggi sebanyak 33,406 jangkitan pada 5 Mac 2022.
Negara juga tidak melaporkan sebarang kematian akibat komplikasi Covid-19 semalam – dua hari berturut-turut, menurut laman sesawang Github KKM yang dikemas kini tengah malam tadi.
Pada masa sama, KKM juga memaklumkan bahawa lapan kes semalam turut melibatkan kanak-kanak, dengan masing-masing empat kes membabitkan kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun, dan lima hingga 11 tahun.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 97 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 30 (individu yang lengkap divaksinasi); tiada kes melibatkan individu belum lengkap divaksinasi; dan 15 kes (individu tidak divaksinasi).
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak kes pertama dikesan pada 25 Januari 2020 sebanyak 5,034,972 dengan 4,987,828 pesakit telah sembuh, termasuk 267 yang pulih semalam.
KKM juga memaklumkan sehingga semalam 10,212 kes masih aktif, turun semula berbanding 10,337 yang dicatat pada Ahad.
Sementara itu, 9,859 pesakit kini masih menjalani kuarantin di rumah (9,943 pada Ahad). Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital turun semula kepada 337 kes berbanding 381 pada Ahad dan 366 (Sabtu).
Seramai 16 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi (13 pada Ahad), dengan 11 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (10 pada Ahad).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 53 (1,547,760);
- Kuala Lumpur – 27 (467,779);
- Sabah – 2 (406,772);
- Johor – 8 (398,167);
- Sarawak – 3 (324,213);
- Kedah – 6 (318,490);
- Pulau Pinang – 2 (307,430);
- Kelantan – 2 (260,018);
- Perak – 4 (238,877);
- Negeri Sembilan – 10 (230,871);
- Pahang – 3 (182,587);
- Melaka – 10 (144,786);
- Terengganu – 4 (132,916);
- Putrajaya – 7 (32,368);
- Labuan – 0 (22,952); dan
- Perlis – 1 (18,986).
Sementara itu tiada pesakit dilaporkan meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam, sama seperti pada Ahad.
Ini menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 di seluruh negara kekal kepada 36,929 mangsa, termasuk 7,866 kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).