Jangkitan positif turut sedikit, kes aktif meningkat 310,160

Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (9 Mac 2022) turun sedikit, namun kekal melebihi 30,000 kes, menurut statistik dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Melalui laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini pagi tadi, sebanyak 30,246 jangkitan baharu direkodkan, berbanding 31,490 kes semalam, dengan 11 negeri mencatat peningkatan kes harian.

Angka terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 3,711,199 kes – kembali berada di tempat ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina. Di belakang Malaysia ialah Vietnam yang sejak empat hari lalu berada di tangga ketiga.

Sejak awal 2020 lalu hingga semalam seramai 3,367,542 pesakit telah sembuh, dengan semalam sahaja seramai 26,653 pesakit telah pulih, manakala 33,497 kes kematian turut dilaporkan, termasuk 113 kes semalam.

Sehingga kini 310,160 kes masih aktif, meningkat berbanding 306,680 kes pada Selasa, dengan 297,924 pesakit sedang menjalani kuarantin di rumah (294,242 pada Selasa); dan 3,278 ditempatkan di PKRC (3,397 Selasa).

Seramai 8,570 pesakit lagi dimasukkan ke hospital, turun berbanding 8,668 kes pada Selasa, manakala 388 pesakit lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU), meningkat berbanding 373 pada Selasa, dengan 225 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (223 Selasa).

Sebelas negeri yang mencatat peningkatan jangkitan harian semalam ialah:

  • Kedah – 3,179 kes (3,015 Selasa);
  • Johor – 2,986 kes (1,721);
  • Pulau Pinang – 2,462 kes (2,425);
  • Kelantan – 1,691 kes (1,647);
  • Pahang – 1,529 (1,409);
  • Perak – 1,442 kes (1,279);
  • Sabah – 1,352 kes (1,216);
  • Terengganu – 1,283 (1,277);
  • Melaka – 725 (554);
  • Labuan – 246 (148); dan
  • Perlis – 224 (190).

Selangor, walaupun jangkitan baharu turun semalam, namun kekal mencatat kes tertinggi sebanyak 6,606 kes berbanding 8,095 kes pada Selasa.

Sehingga semalam, Kedah merekodkan 258,795 kumulatif positif, dengan 226,319 pesakit telah sembuh, 2,371 kes kematian dan 30,105 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 29,327 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 192 ditempatkan di PKRC; 539 dimasukkan ke hospital; dan 47 pesakit dirawat di ICU, dengan 23 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, seramai 1,579,832 atau 72.0 peratus populasi di Kedah telah lengkap menerima vaksin Covid-19, 1,646,602 atau 75.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 689,275 atau 44.3 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

BERITA BERKAIT
POPULAR