Jangkitan naik kepada 3,528 kes

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat 18 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh itu sebanyak 3,528 kes baharu dikesan, berbanding 3,510 kes yang dicatat semalam.

Beliau berkata jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak awal tahun lalu hingga hari ini sebanyak 2,735,241 kes.

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh itu sehingga semalam seramai 2,652,585 pesakit telah sembuh, manakala 31,265 pesakit lagi meninggal dunia.

Sehingga semalam, lima negeri kekal merekodkan kumulatif positif melebihi 200,000 dengan Selangor mencatat 780,188 kes; diikuti Sarawak (252,129 kes); Johor (241,884 kes); Sabah (239,187 kes); dan Kuala Lumpur (209,346 kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menjangkakan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah pada nilai 0.90, turut semula berbanding 0.91 yang dijangkakan pada Rabu.

Untuk rekod, nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.0 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti wabak berkenaan.

Tidak ada negeri yang merekodkan nilai Rt melepasi 1.00. Jangkaan nilai Rt tertinggi dicatat di Terengganu iaitu 0.99 dan terendah di Sarawak dengan nilai Rt 0.74.

BERITA BERKAIT
POPULAR