Jangkitan naik di Perak, Perlis catat kes terendah sejak 15 November

Hanya Perak sahaja negeri yang mencatat peningkatan kes harian baharu dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut statistik kes yang dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri di seluruh negara lawat petang tadi.

Bagaimanapun kenaikan kes itu pada kadar rendah iaitu daripada 207 kes yang dilaporkan semalam kepada 241 kes hari ini, menjadikan keseluruhan kes positif di negeri itu sebanyak 125,683 kes, dengan 121,946 pesakit disahkan sembuh, dan 1,306 kes kematian.

Sehingga semalam, Perak melaporkan 2,190 kes aktif dengan 1,653 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 116 ditempatkan di PKRC; 376 dimasukkan ke hospital; dan 45 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 25 daripadanya yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam juga, sebanyak 73.5 peratus atau 1,845,725 populasi di negeri itu telah lengkap divaksinasi, 74.7 peratus atau 1,876,384 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 217,425 individu lagi menerima dos penggalak.

Dalam tempoh sama juga, Perak mencatat 12 kluster aktif, dengan lima daripadanya melibatkan kluster tempat kerja, pendidikan (empat), kumpulan berisiko tinggi (dua), dan komuniti (satu).

Bagi kes harian di negeri-negeri lain, Selangor kekal mencatat jangkitan tertinggi iaitu sebanyak 954 kes berbanding 1,227 kes semalam.

Jangkitan harian di Perlis pula turun ke paras terendah bagi tempoh hampir sebulan apabila mencatat tujuh kes hari ini, berbanding 39 kes semalam. Kali terakhir negeri itu mencatat kes harian terendah ialah pada 15 November lalu iaitu sebanyak lapan kes.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan seramai 5,399 pesakit disahkan sembuh – melebihi kes positif baharu – menjadikan kumulatif kes pulih sebanyak 2,601,908, berbanding 2,691,639 kes kumulatif positif.

Menurutnya, dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi juga hanya dua kluster baharu dikesan menjadikan keseluruhannya 6,037 kluster dengan 5,794 telah ditamatkan dan 243 kluster masih aktif.

Mengikut laman sesawang KKM, Covidnow, kebanyakan kluster yang masih aktif itu melibatkan tempat kerja.

“Daripada 3,490 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 69 kes atau 2.0 peratus adalah pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 3,421 kes (98.0 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini juga seramai 407 pesakit masih dirawat di ICU dengan 216 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya daripada keseluruhan kes hari ini, 3,476 jangkitan, termasuk melibatkan 154 rakyat asing, adalah penularan tempatan, manakala 14 lagi adalah kes import dengan tiga daripadanya warga asing.

BERITA BERKAIT
POPULAR