Jangkitan kes baharu Covid-19 meningkat sedikit

Terdapat sedikit peningkatan melibatkan kes harian jangkitan baharu Covid-19 hari ini selepas sebanyak 5,713 kes dilaporkan setakat tengah hari tadi, berbanding 5,291 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam satu perkongsian melalui media sosial berkata pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif yang direkodkan naik kepada 2,492,343 sejak virus dikesan pada akhir Januari tahun lalu di Malaysia.

Sebanyak 5,681 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan penularan tempatan iaitu 5,392 atau 94.9 peratus adalah warganegara dan 289 atau 5.2 peratus bukan warganegara.

Menurut Noor Hisham, KKM mengesan 32 kes import membabitkan 12 warganegara dan 20 warga asing.

“Daripada 5,713 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 93 kes (1.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5 manakala 5,620 kes (98.4 peratus) lagi terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

KKM turut melaporkan 555 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), sedikit meningkat berbanding 545 kes semalam yang mana daripada jumlah itu 280 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebanyak 5,865 kes sembuh dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih daripada jangkitan Covid-19 di negara ini kini mencecah 2,396,244 kes atau 96.1 peratus daripada kes yang dilaporkan setakat ini.

Pada masa sama, KKM turut mengesan lima kluster baharu, empat daripadanya di tempat kerja dan satu kluster dalam komuniti.

Ia menyumbang kepada 5,793 kluster setakat ini, dengan 5,426 kluster sudah ditamatkan dan 367 kluster masih aktif.

BERITA BERKAIT
POPULAR