Jangkitan harian turun lagi tapi kes aktif meningkat melepasi 300,000

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam lalu turun lagi buat hari ketiga berturut-turut apabila merekodkan 24,466 kes, berbanding 27,299 kes pada Sabtu.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan angka itu menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 3,419,636 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia dan Filipina – dengan 2,086,270 pesakit telah sembuh.

Dalam tempoh itu seramai 40 lagi pesakit meninggal dunia menjadikan kumulatif kematian berjumlah 32,674 kes – keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam.

Menurut laman sesawang CovidNOW kendalian KKM, sehingga semalam kes aktif meningkat lagi kepada 300,692 kes, tertinggi pernah dicatat sejak wabak Covid-19 melanda negara awal 2020 lalu.

Daripada jumlah itu seramai 288,980 pesakit menjalani kuarantin di rumah, 3,495 ditempatkan di PKRC; 7,864 dimasukkan ke hospital; dan 353 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 193 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Enam negeri merekodkan peningkatan jumlah jangkitan harian semalam, melibatkan Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Terengganu dan Perlis.

Selangor mencatat kes harian tertinggi semalam membabitkan 6,823 kes berbanding 6,740 kes pada Sabtu, menjadikan kumulatif positif di negeri itu berjumlah 943,536 kes, dengan 854,278 pesakit telah sembuh, 10,163 kematian, dan 79,095 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 77,418 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 302 ditempatkan di PKRC; 1,337 dimasukkan ke hospital; dan 38 dirawat di ICU, dengan 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga semalam, 4,796,816 atau 94.8 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,024,099 atau 99.0 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,688,158 atau 87.5 peratus individu dewasa pula menerima dos penggalak.

Sementara itu, Negeri Sembilan merekodkan 1,520 kes semalam berbanding 1,464 pada Sabtu, diikuti Perak (1,330 kes baharu, 1,321 Sabtu); Melaka (750 kes baharu, 745 Sabtu); Terengganu (731 kes baharu, 515 Sabtu); dan Perlis (321 kes baharu, 207 Sabtu).

BERITA BERKAIT
POPULAR