Jangkitan harian turun lagi, kumulatif positif lepasi 4 juta

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Isnin, 21 Mac 2022), terus turun lima hari berturut-turut, tatkala kumulatif positif sejak awal 2020 lalu melepasi angka empat juta kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) semalam sebanyak 17,828 jangkitan baharu dilaporkan, turun 1,277 kes berbanding 19,105 pada Ahad.

Angka itu menjadikan kumulatif positif meningkat kepada 4,010,952 kes, dengan 3,712,668 pesakit telah pulih, 34,463 kes kematian, dan 263,821 kes aktif, menurut laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi.

Daripada jumlah kes aktif itu 255,133 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,447 ditempatkan di PKRC; 6,883 dimasukkan ke hospital; dan 358 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 199 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sejak 24 Februari 2021 hingga Ahad, seramai 25,786,987 atau 79.0 peratus daripada populasi Malaysia telah lengkap menerima vaksin Covid-19 masing-masing.

Seramai 27,424,791 atau 84.0 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 15,483,571 atau 65.8 peratus daripada populasi dewasa telah menerima dos penggalak.

Data CovidNOW juga menunjukkan enam negeri dan Wilayah Persekutuan yang mencatat peningkatan kes harian semalam melibatkan Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan, Sabah, dan Perlis.

Selangor merekodkan 6,941 jangkitan baharu semalam, berbanding 6,761 pada Ahad, menjadikan kumulatif positif sebanyak 1,100,852
kes, dengan 1,014,946 pesakit sembuh, 10,446 kematian dan 75,460 kes aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 73,702 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 278 ditempatkan di PKRC; 1,431 dimasukkan ke hospital; dan 49 pesakit dirawat di ICU, dengan 21 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 20 Mac, seramai 4,805,771 atau 94.9 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,113,797 atau 100.8 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,901,301 atau 91.7 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Sementara itu, Kedah pula mencatat 1,402 kes baharu berbanding 1,113 pada Ahad, diikuti Terengganu (738 kes baharu, 547 Ahad); Kelantan (608 kes baharu, 518 Ahad); Sabah (416 kes baharu, 339 Ahad); dan Perlis (104 kes baharu, 90 Ahad).

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 21 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR