
Data sehingga 15 Januari 2023.
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Ahad, 15 Januari 2023) turun lagi ke paras terendah sejak Oktober 2020, ketika permulaan wabak yang dikatakan bermula di Wuhan, China, itu menular menjadi pandemik.
Dalam tempoh itu sebanyak 244 kes baharu direkodkan, berbanding 287 yang dicatat pada Sabtu.
Dua negeri dan Wilayah Persekutuan – Perlis dan Labuan – tidak merekodkan kes baharu semalam.
Data Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikemas kini tengah malam tadi, juga menunjukkan jangkitan semalam turut melibatkan 22 kanak-kanak, berbanding 24 yang direkodkan pada Sabtu.
Ia membabitkan 10 kes kanak-kanak berusia 0 hingga empat tahun, dan lima hingga 11 tahun (12 kes), lapor KKM.
Daripada jumlah jangkitan baharu semalam, 167 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan vaksin dos penggalak, diikuti 47 (individu yang lengkap divaksinasi); satu kes melibatkan individu belum lengkap divaksinasi; dan 29 kes (individu tidak divaksinasi).
Data KKMNOW pula menunjukkan jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif sejak 25 Januari 2020 sebanyak 5,032,677 dengan 4,985,292 pesakit telah sembuh, termasuk 401 yang pulih semalam.
KKM juga memaklumkan sehingga semalam 10,477 kes masih aktif, turun berbanding 10,634 yang dilaporkan pada Sabtu, manakala 10,008 pesakit masih menjalani kuarantin di rumah, berbanding 10,175 pada Sabtu. Tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC.
Menurut KKM, jumlah pesakit yang menerima rawatan di hospital bagaimanapun, meningkat sedikit kepada 449 kes berbanding 439 yang dicatat pada Sabtu.
Seramai 20 pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, kekal seperti pada Sabtu, dengan sembilan daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (tujuh pada Sabtu).
Berikut adalah pecahan kes baharu semalam mengikut negeri dan wilayah, serta kumulatif kes positif:
- Selangor – 84 (1,547,001);
- Kuala Lumpur – 37 (467,308);
- Sabah – 6 (406,722);
- Johor – 22 (398,046);
- Sarawak – 11 (324,098);
- Kedah – 10 (318,391);
- Pulau Pinang – 14 (307,269);
- Kelantan – 3 (259,982);
- Perak – 15 (238,773);
- Negeri Sembilan – 7 (230,790);
- Pahang – 8 (182,549);
- Melaka – 17 (144,660);
- Terengganu – 2 (132,855);
- Putrajaya – 8 (32,306);
- Labuan – 0 (22,947); dan
- Perlis – 0 (18,980).
Sementara itu tiada pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 dalam tempoh 24 jam semalam.
Ini menjadikan kumulatif kematian sejak 17 Mac 2020 di seluruh negara kekal seramai 36,908 mangsa, termasuk 7,861 kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau ‘brought in death’ (BID).