Jangkitan harian naik lagi menjelang fasa peralihan endemik esok

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam hari ini (31 Mac 2022), dilaporkan meningkat lagi buat hari ketiga berturut-turut, selepas turun kepada 13,336 kes pada 28 Mac.

Data Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri yang dikeluar malam ini menunjukkan dalam tempoh itu 18,560 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 15,941 kes pada Rabu.

Tujuh negeri dilaporkan merekodkan peningkatan jangkitan harian hari ini dengan Selangor mencatat 10,735 kes berbanding 7,748 kes semalam.

Negeri Sembilan pula merekodkan 1,077 kes baharu, berbanding 765 semalam, diikuti Johor (954 kes baharu, 778 semalam); Pulau Pinang (790 kes baharu, 684 semalam); Melaka (338 kes baharu, 331 semalam); Putrajaya (101 kes baharu, 66 semalam); dan Perlis (48 kes baharu, 33 semalam).

Jangkitan Covid-19 meningkat tatkala sempadan negara akan dibuka sepenuhnya esok (1 April 2022), kepada semua pengembara sama ada telah melengkapkan vaksinasi atau belum.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM), pengembara perlu mematuhi semua tatacara pra-pelepasan dan selepas ketibaan. Pengembara yang lengkap vaksin akan menerima Kad Pengembara biru sementara pengembara yang tidak lengkap atau tidak divaksin akan menerima Kad Pengembara merah.

Semua pengembara yang ingin memasuki Malaysia dikehendaki mengisi borang pra-pelepasan dalam aplikasi MySejahtera. Keputusan ujian pra-pelepasan juga perlu dimuat naik dalam tempoh dua hari sebelum berlepas.

Pada masa sama, mulai esok juga negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik yang bermakna beberapa kelonggaran mula diberikan, namun orang ramai diingatkan supaya memakai pelitup muka pada setiap masa jika terdapat kehadiran individu lain.

Mereka juga diingatkan sentiasa membersihkan tangan sama ada menggunakan sabun atau pembasmi bakteria dan kuman, mengelakkan perhimpunan ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal, dan tidak berada di ruang yang mempunyai sistem pengudaran yang tidak baik.

Susulan itu kerajaan telah menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) mengandungi 10 keperluan yang akan dikuatkuasakan mengikut Akta 342.

Sepuluh keperluan itu ialah:

i. Memakai pelitup muka ketika di tempat awam.
ii. Waktu operasi mengikut lesen/permit.
iii. Menjaga kebersihan tangan.
iv. Melakukan ujian pengesanan COVID-19 berdasarkan National Testing
Strategy.
v. Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
vi. Menggunakan MySejahtera dan MySJTrace untuk pendaftaran
kemasukan.
vii. Memastikan penjarakan fizikal 1 meter.
viii. Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik.
ix. Memastikan kebersihan premis.
x. Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu.

Sementara itu sembilan garis panduan juga telah dibangunkan bagi membantu rakyat membuat pilihan lebih selamat ketika menjalankan aktiviti
harian demi menjaga keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling.

Sembilan garis panduan itu tidak akan dikuatkuasakan, sebaliknya ia menjadi panduan yang amat digalakkan untuk dipatuhi supaya rakyat dapat kekal berwaspada dengan risiko jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti-aktiviti tertentu.

Sembilan garis panduan itu merangkumi:

i. Pengangkutan dan Perjalanan
ii. Pendidikan dan Penjagaan
iii. Aktiviti Peruncitan, Makanan dan Minuman
iv. Ruang Kerja Tertutup
v. Kawasan Kerja Terbuka
vi. Acara, Majlis, Hiburan dan Tarikan Pelancong
vii. Hotel dan Penginapan Tetamu
viii. Keagamaan, Perkahwinan dan Pengebumian
ix. Aktiviti dan Fasiliti Sukan, Rekreasi & Riadah

BERITA BERKAIT
POPULAR