Jangkitan harian melonjak semula, kes positif ketiga tertinggi di ASEAN

Jangkitan harian Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Selasa, 15 Mac 2022), melonjak semula berbanding Isnin, menurut statistik Kementerian Kesihatan (KKM) pagi ini.

Dalam tempoh itu 26,534 jangkitan baharu dilaporkan berbanding 22,030 pada Isnin, menjadikan kumulatif positif sejak awal 2020 lalu meningkat kepada 3,872,135 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.

Daripada jumlah itu, seramai 3,533,994 pesakit telah pulih, 33,994 pesakit meninggal dunia dan 304,147 kes masih aktif, turun berbanding 308,942 kes yang direkodkan pada Isnin.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 293,435 pesakit menjalani kuarantin di rumah (298,123 pada Isnin); 2,123 ditempatkan di PKRC (2,031 Isnin); dan 8,213 dimasukkan ke hospital (8,400 pada Isnin).

Statistik laman sesawang CovidNOW kendalian KKM yang dikemas kini awal pagi tadi menunjukkan seramai 376 pesakit lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), turun berbanding 388 pada Isnin – dengan 222 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan (215 pada Isnin).

Sementara itu, 11 daripada 16 negeri dan Wilayah Persekutuan mencatat peningkatan jangkitan harian semalam, dengan Selangor merekodkan 7,217 kes baharu berbanding 4,388 kes pada Isnin.

Selangor kini merekodkan 1,057,235 kumulatif positif, dengan 969,137 pesakit telah sembuh, 10,382 kes kematian, dan 77,716 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 75,660 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 340 ditempatkan di PKRC; 1,664 dimasukkan ke hospital; dan 52 pesakit dirawat di ICU, dengan 27 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Sehingga 14 Mac, seramai 4,803,159 atau 94.9 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,093,932 atau 100.5 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,863,621 atau 91.0 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.

Kuala Lumpur turut merekodkan peningkatan apabila mencatat 2,892 kes baharu, berbanding 2,214 pada Isnin; Kedah (2,391 kes baharu, 2,382 Isnin); Pulau Pinang (2,324 kes baharu, 2,137 Isnin); dan Sarawak (1,867 kes baharu, 965 Isnin).

Negeri Sembilan pula mencatat 1,547 kes baharu berbanding 1,359 pada Isnin; Perak (1,296 kes baharu, 1,122 Isnin); Kelantan (1,212 kes baharu, 1,089 Isnin); Melaka (635 kes baharu, 564 Isnin); Perlis (186 kes baharu, 153 Isnin); dan Putrajaya (183 kes baharu, 159 Isnin).

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 15 Mac 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR