
Data 2 Mac 2022.
Jangkitan Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 2 Mac 2022), melonjak lagi, namun masih kekal di bawah angka 30,000 kes, menurut data Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.
Dengan hanya tiga negeri mencatat penurunan kes baharu, jumlah terkumpul jangkitan harian semalam meningkat kepada 27,500 kes berbanding 25,854 kes pada Selasa.
Jumlah terbaharu itu menjadikan kumulatif positif virus SARS-CoV-2 sejak awal 2020 hingga semalam meningkat kepada 3,496,090 kes – keempat tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Indonesia, Filipina dan Vietnam, turun satu anak tangga berbanding pada Selasa.
Daripada jumlah kes positif terkumpul itu, seramai 3,142,112 pesakit telah sembuh, manakala kematian meningkat kepada 32,943 kes, setelah 115 pesakit Covid-19 disahkan meninggal dunia semalam – jumlah tertinggi sejak 7 Oktober 2021.
Data CovidNOW menunjukkan sebanyak 321,036 kes masih aktif, meningkat 27,385 kes berbanding 293,651 kes aktif pada Selasa.
Pesakit yang diperintah menjalani kuarantin di rumah juga meningkat daripada 282,283 individu pada Selasa kepada 309,069 semalam, manakala mereka yang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) pula turun kepada 3,425 pesakit berbanding 3,452 pada Selasa.
Sementara jumlah pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital meningkat daripada 7,542 pada Selasa kepada 8,182 pesakit semalam, manakala jumlah pesakit di unit rawatan rapi (ICU) juga turun satu kes daripada 361 pesakit pada Selasa kepada 360 semalam.
Seramai 194 pesakit di ICU kini memerlukan alat bantuan pernafasan berbanding 213 pada Selasa.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 2 Mac 2022.
Berdasarkan statistik dikeluarkan KKM, hanya Perlis, Negeri Sembilan dan Kedah mencatat penurunan kes harian semalam, manakala 13 negeri dan Wilayah Persekutuan lain merekodkan peningkatan, dengan sembilan daripadanya melebihi 1,000 kes.
Selangor kekal menjadi negeri ‘panas’ Covid-19 di Malaysia apabila merekodkan jumlah kes harian tertinggi semalam, dengan mencatat 6,494 kes baharu, berbanding 5,969 kes pada Selasa.
Sehingga semalam, Selangor merekodkan kumulatif positif sebanyak 962,097 kes, semakin menghampiri angka sejuta, dengan 869,094 pesakit telah sembuh, 10,216 kes kematian, dan 82,787 kes aktif – tertinggi dalam kalangan negeri-negeri lain.
Daripada jumlah kes aktif itu, 80,879 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 381 ditempatkan di PKRC; 1,487 dimasukkan ke hospital; dan 40 pesakit dirawat di ICU, dengan 28 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Sejak 24 Februari 2021 hingga semalam, seramai 4,798,118 atau 94.8 peratus populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, 5,035,368 atau 99.3 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 3,747,213 atau 88.7 peratus individu dewasa menerima dos penggalak.
Negeri lain yang merekodkan peningkatan kes ialah:
Pulau Pinang (2,422 kes baharu, 2,377 Selasa);
Sabah (2,236 kes baharu, 2,158 Selasa);
Kuala Lumpur (2,092 kes baharu, 1,751 Selasa);
Johor (1,949 kes baharu, 1,767 Selasa);
Kelantan (1,758 kes baharu, 1,518 Selasa);
Perak (1,430 kes baharu, 1,288 Selasa);
Sarawak (1,357 kes baharu, 1,248 Selasa);
Pahang (1,331 kes baharu, 1,269 Selasa);
Terengganu (896 kes baharu, 727 Selasa);
Melaka (664 kes baharu, 507 Selasa);
Labuan (264 kes baharu, 230 Selasa); dan
Putrajaya (171 kes baharu, 136 Selasa).
Sementara itu sehingga jam 8.40 pagi ini data CovidNOW tidak menunjukkan rekod jumlah pesakit sembuh bagi semua negeri.

Pecahan kes berkaitan Covid-19 di setiap negeri sehingga 2 Mac 2022.