
Sejak Januari 2020 hingga 22 Jun 2022 Malaysia mencatat kumulatif positif Covid-19 sebanyak 4,547,051 kes. - Gambar Reuters
Jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam semalam (Rabu, 22 Jun 2022) melonjak daripada 1,921 kes pada Selasa kepada 2,425, menurut rekod Kementerian Kesihatan (KKM).
Jumlah kes baharu itu menjadikan kumulatif positif sejak Januari 2020 sebanyak 4,547,051 kes – ketiga tertinggi dalam kalangan negara-negara ASEAN selepas Vietnam dan Indonesia.
Dalam tempoh itu, seramai 4,482,734 pesakit telah sembuh, termasuk 1,716 yang pulih semalam.
Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 1,759 kes melibatkan individu yang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19; penerima dua dos (451 kes); individu tidak divaksinasi (200 kes); dan penerima belum lengkap vaksinasi (15 kes).
Data laman sesawang CovidNOW juga menujukkan sehingga semalam sebanyak 27,026 kes masih aktif, meningkat berbanding 26,155 kes direkodkan pada Selasa.
Pesakit yang masih menjalani kuarantin di rumah juga naik kepada 25,972 individu berbanding 25,059 kes (Isnin), manakala jumlah yang ditempatkan di PKRC turun daripada 15 kepada hanya empat pesakit.
Sementara itu, jumlah individu yang menerima rawatan di hospital akibat Covid-19 sehingga semalam naik semula kepada 1,020 kes berbanding 985 pesakit pada Selasa.
Jumlah pesakit yang dimasukkan ke unit rawatan rapi juga turut meningkat kepada 30 berbanding 29 pada Selasa, dengan 16 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Berikut adalah pecahan kes harian semalam serta kumulatif positif sejak 2020 mengikut negeri:
- Selangor – 1,055 (1,383,575);
- Johor – 59 (385,501);
- Sabah – 125 (373,729);
- Kuala Lumpur – 515 (365,929);
- Sarawak – 64 (307,510);
- Kedah – 54 (301,336);
- Pulau Pinang – 148 (284,055);
- Kelantan – 27 (248,200);
- Negeri Sembilan – 87 (206,697);
- Perak – 113 (205,993);
- Pahang – 33 (172,144);
- Terengganu – 17 (126,482);
- Melaka – 57 (125,480);
- Labuan – 1 (21,450);
- Putrajaya – 64 (21,441); dan
- Perlis – 6 (17,529).
Sementara itu, KKM turut memaklumkan empat pesakit meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 semalam, termasuk satu kes kematian di luar fasiliti kesihatan atau kes ‘brought in death’ (BID).
Kes kematian itu masing-masing dilaporkan di Johor, Negeri Sembilan, Perak dan Sabah.
Jumlah itu menjadikan kumulatif kematian sejak Mac 2020 hingga semalam meningkat kepada 35,741 kes, termasuk 7,580 kes BID.