Jangkitan harian Covid-19 semalam terendah sejak 3 Februari 2022

Negara semalam (Khamis, 21 April 2022) mencatat jumlah jangkitan Covid-19 harian terendah sejak kali terakhir merekodkan 5,720 kes pada 3 Februari lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tempoh 24 jam semalam, negara mencatat 5,899 jangkitan baharu, turun 1,069 kes berbanding 6,968 pada Rabu.

Jumlah itu menjadikan kumulatif positif sejak 2020 meningkat sedikit kepada 4,415,101 kes, dengan 4,291,447 pesakit telah sembuh, 35,470 kematian dicatat dan 88,184 kes masih aktif.

Sehingga semalam, 86,284 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 159 ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC); 1,649 dimasukkan ke hospital; dan 92 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 61 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 3,562 individu yang positif Covid-19 adalah mereka yang telah menerima dos penggalak; 1,302 (penerima dua dos vaksin); 752 (tidak divaksinasi); dan 283 (belum lengkap divaksinasi).

Data laman sesawang CovidNOW yang dikemas kini tengah malam tadi menunjukkan lapan negeri dan Wilayah Persekutuan merekodkan peningkatan kes harian, namun nisbah berbanding pada Rabu adalah kecil.

Kuala Lumpur merekodkan 649 kes baharu, berbanding 458 pada Rabu, diikuti Johor (214 kes, 186 Rabu); dan Sarawak (151 kes, 139 Rabu).

Sabah pula mencatat 85 kes baharu berbanding 83 pada Rabu; Terengganu (60 kes, 50 Rabu); Putrajaya (60 kes, 51 Rabu); dan Perlis (20 kes, 13 pada Rabu).

Sehingga kini, Kuala Lumpur merekodkan kumulatif positif sebanyak 344,118 kes, dengan 334,205 pesakit telah pulih; 2,814 kematian dicatat; dan 7,099 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu,6,831 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 120 ditempatkan di PKRC; 143 dimasukkan ke hospital; dan lima pesakit dirawat di ICU, dengan dua daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Berikut adalah jumlah kumulatif positif bagi semua negeri dan Wilayah Persekutuan setakat semalam:

  • Selangor – 1,321,664;
  • Johor – 381,156;
  • Sabah – 370,217;
  • Kuala Lumpur – 344,118;
  • Sarawak – 304,432;
  • Kedah – 297,806;
  • Pulau Pinang – 275,727;
  • Kelantan – 247,137;
  • Negeri Sembilan – 199,741;
  • Perak – 198,992;
  • Pahang – 170,263;
  • Terengganu – 125,420;
  • Melaka – 121,050;
  • Labuan – 21,265;
  • Putrajaya – 18,904; dan
  • Perlis – 17,209.

Mengikut rekod CovidNOW, tiada pesakit yang ditempatkan di PKRC lapan negeri sejak beberapa hari lalu.

Sehubungan itu, sebagai permulaan PKRC di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) akan ditutup mulai 30 April ini, walaupun sehingga semalam terdapat 14 pesakit Covid-19 yang ditempatkan di situ.

Semua pesakit Covid-19 yang berisiko rendah akan mula ditempatkan di Hospital Melaka dan Kolej Jururawat untuk menerima rawatan lanjut.

Pecahan kes Covid-19 mengikut negeri-negeri pada 21 April 2022.

BERITA BERKAIT
POPULAR