Jangkitan di tiga negeri meningkat, 3,381 kes terkumpul hari ini

Hanya tiga negeri sahaja merekodkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, seiring dengan penurunan kes baharu di seluruh negara hari ini.

Dalam tempoh itu sebanyak 3,381 kes baharu dilaporkan di seluruh negara berbanding 3,543 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka itu menjadikan kumulatif positif sebanyak 2,780,080 kes. Sehingga semalam, seramai 2,705,292 pesakit dilaporkan sembuh, manakala 31,628 kes kematian dilaporkan.

Kelantan mencatat peningkatan daripada 296 kes yang dilaporkan semalam kepada 385 kes hari ini menjadikan kumulatif positif di negeri itu sebanyak 171,256 kes.

Sehingga semalam, seramai 166,508 pesakit Covid-19 di Kelantan telah sembuh dan 3,196 lagi kes masih aktif. Negeri itu turut merekodkan 1,256 kes kematian setakat ini.

Daripada jumlah kes aktif itu, seramai 2,419 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 493 ditempatkan di PKRC; 261 dimasukkan ke hospital; dan 23 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 14 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, 61.7 peratus atau 1,175,632 individu di Kelantan telah lengkap divaksinasi, 62.9 peratus atau 1,198,380 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos dan 181,393 individu lagi menerima dos penggalak.

Sementara itu Kuala Lumpur turut mencatat peningkatan jangkitan hari ini apabila melaporkan 271 kes baharu berbanding 229 semalam, manakala Negeri Sembilan pula merekodkan 172 kes baharu berbanding 160 semalam.

Selangor kekal tinggi dengan 879 kes baharu walaupun turun berbanding 919 kes yang dilaporkan semalam.

Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian semalam untuk seluruh negara adalah 0.96.

Bagaimanapun, Labuan mencatat nilai Rt 1.10 dan Sabah (1.05), manakala negeri-negeri lain dengan nilai antara 0.83 dan 0.99.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan virus iaitu berapa ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Menurut pakar kesihatan, nilai Rt berada pada tahap membimbangkan apabila ia melepasi nilai 1.00 dengan lebih ramai individu berpotensi untuk dijangkiti.

BERITA BERKAIT
POPULAR