Jangkitan di tempat kerja semakin meningkat

Data 25 Jun 2021

Jumlah kes Covid-19 membabitkan jangkitan di tempat kerja didapati semakin meningkat apabila hari ini sebanyak 21 lagi kluster dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata 18 daripada kluster baharu yang dikesan itu membabitkan jangkitan di tempat kerja, melibatkan 618 individu.

Beliau berkata kluster Tapak Bina Matahari 2 di Titiwangsa, Kuala Lumpur merekodkan jangkitan tertinggi sebanyak 142 kes, manakala Industri SS Lapan Dua di Petaling membabitkan 115 kes.

Selangor merekodkan lapan kluster tempat kerja diikuti lima kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur; dan masing-masing satu kluster tempat kerja di Melaka; Kelantan; Pulau Pinang; Pahang; Kedah; dan Terengganu.

Sarawak dan Perak pula merekodkan masing-masing dua kluster tempat kerja, komuniti dan pusat tahanan.

Dr Noor Hisham berkata, 873 kluster masih aktif, manakala 1,868 kluster ditamatkan.

Terdahulu beliau memaklumkan sebanyak 82 kematian baharu akibat Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi menjadikan keseluruhannya sejak pandemik melanda negara Mac tahun lalu kepada 4,803 kes.

Beliau berkata dalam tempoh itu 5,812 kes baharu dicatatkan di seluruh negara, menjadikan kumulatif kes sebanyak 722,659.

POPULAR