Jangkitan di Selangor naik semula, lapan kluster baharu dikesan

Jangkitan Covid-19 di Selangor dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi meningkat semula berbanding semalam, menurut laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri, hari ini.

Dalam tempoh itu, Selangor merekodkan 1,503 jangkitan baharu berbanding 1,479 kes semalam, menjadikan kumulatif positif sebanyak 748,775, dengan 720,508 pesakit disahkan sembuh.

Sehingga semalam, negeri itu mencatat 18,558 kes aktif dengan 16,180 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 1,265 ditempatkan di PKRC; 1,032 dimasukkan ke hospital; dan 81 dirawat di hospital, termasuk 52 yang memerlukan alat bantuan pernafasan. Selangor juga mencatat 9,758 kes kematian.

Tiga lagi negeri turut merekodkan peningkatan kes hari ini, manakala jangkitan di 12 lagi negeri dan Wilayah Persekutuan menunjukkan penurunan.

Dalam tempoh 24 jam itu, Kedah mencatat peningkatan daripada 428 kes semalam, kepada 459 kes hari ini; diikuti Negeri Sembilan (204 kes baharu, 159 kes semalam); dan Perlis (33 kes baharu, 30 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lapan lagi kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 5,928 kluster, dengan 5,694 telah ditamatkan dan 234 lagi masih aktif.

Beliau juga memaklumkan seramai 5,352 pesakit disahkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif sebanyak 2,522,045 pesakit pulih, berbanding 2,619,577 kes positif.

“Daripada 5,097 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 84 kes atau 1.6 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 5,013 kes (98.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya.

Daripada kes baharu hari ini, 5,080 kes yang turut membabitkan 204 rakyat asing adalah penularan tempatan, manakala 17 lagi adalah kes import, termasuk tiga rakyat asing.

Sehingga hari ini, seramai 510 pesakit Covid-19 dirawat di ICU dengan 258 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Keseluruhannya sehingga semalam, 54,020 pesakit menjalani kuarantin di rumah di seluruh negara; 7,474 ditempatkan di PKRC; dan 5,534 pesakit dimasukkan ke hospital.

BERITA BERKAIT
POPULAR