Jangkitan di lima negeri naik hari ini, enam kluster baharu dikesan

Lima negeri mencatat peningkatan jumlah jangkitan harian dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menurut rekod dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri di seluruh Malaysia hari ini.

Pulau Pinang mendahului senarai jumlah peningkatan tertinggi membabitkan sebanyak 345 kes baharu, berbanding 279 kes semalam, menjadikan kumulatif positif di negeri itu naik kepada 156,461 kes

Daripada jumlah positif itu, seramai 151,087 pesakit telah sembuh, manakala 1,682 lagi meninggal dunia.

Sehingga semalam, Pulau Pinang mencatat 3,347 kes aktif dengan 2,946 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 166 ditempatkan di PKRC; 214 dimasukkan ke hospital; dan 21 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk enam pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Negeri itu turut mencatat 16 kluster aktif dengan tujuh daripadanya membabitkan tempat kerja; lima kluster kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan (empat).

Negeri lain yang turut merekodkan peningkatan kes hari ini ialah Sabah sebanyak 287 kes baharu berbanding 263 semalam; Sarawak (74 kes baharu, 67 semalam); Perlis (39 kes baharu, 35 semalam); dan Labuan (26 kes baharu, lapan semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata enam kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, menjadikan keseluruhannya 6,035 kluster dengan 5,785 telah ditamatkan dan 250 masih aktif.

Dalam tempoh itu juga katanya, seramai 4,690 pesakit disah sembuh menjadikan kumulatif sebanyak 2,596,509 pesakit pulih atau 96.6 peratus daripada 2,688,149 kumulatif kes positif.

Menurutnya daripada jumlah kes baharu hari ini, 171 terdiri daripada warga asing dan 20 kes import.

Daripada 4,626 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 95 kes atau 2.1 peratus membabitkan pesakit kategori 3, 4, dan 5; dan 4,531 kes (97.9 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2, katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini seramai 396 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 211 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR