Jangkitan di lapan negeri naik

Walaupun jumlah jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun berbanding semalam, separuh daripada negeri di Malaysia merekodkan peningkatan kes.

Paling ketara penurunan kes harian bagi seluruh negara hari ini, sebahagian besarnya disumbang oleh jumlah jangkitan di Sarawak yang semakin rendah iaitu sebanyak 98 kes berbanding 158 semalam.

Tertinggi pernah direkodkan Sarawak bulan ini ialah pada 3 November lalu iaitu sebanyak 540 kes.

Sehingga tengah hari tadi, Sarawak mencatat kumulatif positif sebanyak 250,333 kes, dengan 246,482 pesakit telah sembuh, dan 1,579 pesakit meninggal dunia.

Sehingga semalam, negeri itu mencatat 2,463 kes aktif dengan 1,455 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 555 ditempatkan di PKRC; 397 dimasukkan ke hospital; dan 56 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), termasuk 24 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Manakala, Selangor turut menjadi penyumbang penurunan kes peringkat nasional, apabila hari ini mencatat 952 kes berbanding 1,097 semalam.

Sehingga hari ini, Selangor mencatat kumulatif positif sebanyak 750,820 kes, dengan 723,314 pesakit sembuh, dan 9,763 meninggal dunia.

Sementara itu, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri hari ini, Kelantan, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Melaka, Perlis dan Labuan, mencatat peningkatan kes harian.

Kelantan hari ini merekodkan 446 kes baharu berbanding 358 semalam; diikuti Johor (413 kes baharu, 404 semalam); Kedah (333 kes baharu, 253 semalam); dan Pulau Pinang (279 kes baharu, 262 semalam).

Terengganu pula mencatat 214 kes baharu hari ini berbanding 172 semalam; diikuti Melaka (175 kes baharu, 159 semalam); Perlis (28 kes baharu, 19 semalam); dan Labuan (19 kes baharu, 13 semalam).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan tujuh kluster baharu dikesan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Jumlah terbaharu itu menjadikan keseluruhan kluster yang dikesan sejak wabak Covid-19 melanda awal tahun lalu kepada 5,938 kluster dengan 5,711 telah ditamatkan dan 227 lagi masih aktif.

Seramai 4,984 pesakit juga dilaporkan sembuh, menjadikan kumulatif sebanyak 2,532,036 kes berbanding 2,627,903 kumulatif positif.

“Daripada jangkitan baharu hari ini, 21 adalah kes import, termasuk empat membabitkan bukan warganegara, dan 4,066 lagi yang turut melibatkan 220 rakyat asing, adalah penularan tempatan,” katanya.

Daripada 4,087 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 72 kes atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 4,015 kes (98.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

BERITA BERKAIT
POPULAR