Jangkitan di lapan negeri naik, Selangor catat 6,136 kes baharu

Hanya lapan negeri hari ini mencatat peningkatan kes harian walaupun jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 22,802 kes berbanding 20,939 semalam.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini, Selangor, Sabah, Johor, Kedah, Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Perlis merekodkan peningkatan jangkitan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi.

Jangkitan harian di Selangor terus melonjak kepada 6,136 kes berbanding 4,291 semalam, kenaikan lima hari berturut-turut sejak 8 Februari lalu, menjadikan kumulatif kes positif di negeri itu mencecah 850,216 kes.

Sehingga semalam, seramai 805,456 pesakit Covid-19 di Selangor telah pulih, 10,073 kes kematian dilaporkan dan 28,551 kes masih aktif.

Daripada jumlah kes aktif itu seramai 27,166 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 428 ditempatkan di PKRC; 941 dimasukkan ke hospital; dan 16 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan tujuh daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini seramai 4,792,255 atau 94.7 peratus daripada populasi di Selangor telah lengkap divaksinasi, manakala 4,888,392 atau 96.5 peratus lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sabah pula mencatat 4,107 kes baharu berbanding 3,361 semalam, diikuti Johor (3,238 kes baharu, 2,860 semalam); Kedah (1,629 kes baharu, 1,623 semalam); dan Pulau Pinang (1,574 kes baharu, 1,490 semalam).

Pahang merekodkan 1,063 kes baharu, berbanding 1,008 semalam; Perak (503 kes baharu, 443 semalam); dan Perlis (139 kes baharu, 127 semalam).

Sehingga kini, negara merekodkan 3,019,163 kumulatif kes positif, dengan sehingga semalam seramai 2,846,713 pesakit telah sembuh dan 32,099 kes kematian.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 lagi kluster baharu Covid-19 dikesan dalam tempoh 24 jam hingga 12 tengah hari tadi.

Katanya, jumlah itu menjadikan sehingga kini 6,586 kluster Covid-19 dikesan sejak awal 2020 lalu, dengan 6,171 daripadanya telah ditamatkan dan 415 lagi masih aktif.

Maklumat berhubung kluster baharu itu akan dikemas kini dalam laman sesawang Covidnow selepas tengah malam ini.

Beliau turut memaklumkan dalam tempoh itu seramai 5,442 pesakit Covid-19 telah sembuh menjadikan keseluruhannya 2,846,713 kes pulih atau 94.3 peratus daripada 3,019,163 kumulatif positif.

Sebanyak 94 kes import turut dikesan hari ini yang membabitkan 55 warganegara dan 39 rakyat asing. Sebanyak 22,708 kes lagi adalah penularan tempatan melibatkan 22,113 warganegara dan 595 rakyat asing.

Sehingga kini seramai 176 pesakit dirawat di ICU dengan 98 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

BERITA BERKAIT
POPULAR