Jangkitan di empat negeri naik, 461 mangsa banjir positif Covid-19

Empat negeri hari ini merekodkan peningkatan jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi, walaupun kes di seluruh negara turun daripada 2,882 kepada 2,690 kes, terendah sejak 20 Disember 2021 yang mencatat 2,589 kes.

Kedah mendahului senarai peningkatan jangkitan harian dengan merekodkan 254 kes baharu berbanding 225 semalam, menjadikan keseluruhan kumulatif positif di negeri itu sebanyak 169,119, dengan sehingga semalam 164,940 pesakit sembuh dan 2,161 kes kematian.

Sehingga semalam, Kedah merekodkan 1,764 kes aktif, termasuk 1,384 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 204 ditempatkan di PKRC; 158 dimasukkan ke hospital; dan 18 dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan lima daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Setakat ini, seramai 1,571,004 atau 71.9 peratus daripada populasi di Kedah telah lengkap divaksinasi, manakala 72.9 peratus atau 1,592,472 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos.

Sementara 326,689 lagi individu telah menerima suntikan dos penggalak.

Terdapat lapan kluster aktif di negeri ini lima berkaitan tempat kerja, dan tiga lagi kluster pendidikan.

Bagi negeri lain yang merekodkan peningkatan, Terengganu mencatat 173 kes baharu berbanding 122 semalam diikuti Kuala Lumpur (167 kes baharu, 103 semalam); dan Pahang (158 kes baharu, 103 semalam).

Selangor kekal mencatat kes tertinggi walaupun menunjukkan trend menurun dengan mencatat 673 kes baharu berbanding 734 semalam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah mangsa banjir yang positif Covid-19 meningkat satu kes menjadi keseluruhannya sehingga jam 3 petang tadi sebanyak 461 kes.

Tiada kes atau kluster baharu melibatkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara, dengan masing-masing kekal 15 kes dan satu kluster, katanya.

Menurutnya daripada 2,690 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 52 kes atau 1.9 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 2,638 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

“Seramai 3,535 pesakir dilaporkan sembuh hari ini menjadikan kumulatif pulih sebanyak 2,695,751 atau 97.4 peratus daripada 2,767,044 kumulatif positif.

“Pada masa sama, 300 kes import yang turut melibatkan 22 bukan warga negara dikesan hari ini, manakala 2,390 kes lagi adalah penularan tempatan yang turut membabitkan 73 pesakit rakyat asing,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster baharu dikesan hari ini menjadikan 206 daripada 6,137 kluster masih aktif, manakala 5,931 lagi telah ditamatkan.

Seramai 265 pesakit masih dirawat di ICU, dengan 147 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan, katanya.

BERITA BERKAIT
POPULAR