Jangkitan di 13 negeri turun, Selangor kekal catat empat digit

Selangor kekal mencatat jumlah kes baharu melebihi angka 1,000 walaupun jangkitan dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari tadi turun berbanding semalam.

Statistik dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri-Negeri malam ini menunjukkan negeri itu merekodkan 1,006 kes baharu berbanding 1,083 kes dalam tempoh sama semalam.

Angka terbaharu di Selangor itu menjadikan jumlah terkumpul positif Covid-19 di negeri berkenaan meningkat kepada 798,036, semakin mendekati 800,000 kes sejak wabak itu melanda negara awal 2020 lalu.

Namun, secara keseluruhannya seiring dengan jumlah jangkitan pada peringkat nasional hari ini, daripada 3,684 kes semalam kepada 3,346 kes, 13 negeri dan Wilayah Persekutuan turut mencatat penurunan kes harian.

Hanya Pulau Pinang, Putrajaya dan Perlis mencatat peningkatan, menurut statistik Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.

Pulau Pinang hari ini mencatat 198 kes baharu berbanding 164 semalam, menjadikan kumulatif kes di negeri itu sebanyak 163,787 kes, dengan sehingga semalam 160,240 pesakit telah sembuh, dan 1,757 kes kematian

Sehingga semalam sebanyak 1,592 kes masih aktif di negeri itu, dengan 1,416 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 57 ditempatkan di PKRC; 108 dimasukkan ke hospital; dan 11 dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Seramai 1,524,403 individu atau 85.9 peratus penduduk Pulau Pinang telah lengkap divaksinasi, manakala 86.7 peratus atau 1,537,946 lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 32.3 peratus atau 572,730 individu menerima dos penggalak.

Sementara itu, Putrajaya pula merekodkan 34 kes baharu berbanding 23 kes semalam, manakala Perlis mencatat 15 kes baharu (lapan semalam).

Jumlah kes berkaitan Covid-19 di negara-negara ASEAN sehingga 14 Januari 2022. – Sumber WHO

BERITA BERKAIT
POPULAR